Jelajah Ikon Madani bukan medan untuk berpolitik - Utusan Malaysia

Jelajah Ikon Madani bukan medan untuk berpolitik

MOHAMMAD Agus Yusoff (kanan) bersama Aznil (dua dari kanan) dan Mohd. Aizuddin (tiga dari kanan) beramah mesra bersama mahasiswa yang hadir pada Jelajah Ikon Madani Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Biduanda, UiTM Kampus Rembau, Rembau hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Penganjuran program Jelajah Ikon Madani oleh Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Jabatan Perdana Menteri dan Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) bukanlah medan untuk berpolitik sebaliknya platform menghubungkan pihak kerajaan dengan mahasiswa.

Ketua Pengarah J-Kom, Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, ia juga menjadi medan menjelaskan dasar-dasar kerajaan selain keutamaan menjelaskan gagasan besar iaitu konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“J-Kom masuk universiti bukan untuk berpolitik, kami datang ke UiTM (Universiti Teknologi Mara) atau mana-mana universiti menjelaskan dasar-dasar kerajaan, menjelaskan Malaysia Madani bukannya berkempen untuk menyokong parti A atau parti B.

“Kami tahu di mana batas yang boleh dimainkan tetapi kalau untuk mempertahankan dasar-dasar kerajaan, jelaskan dasar-dasar kerajaan, menghubungkan antara kerajaan dengan mahasiswa, kerajaan dengan rakyat itu adalah tugas J-Kom.

“Jadi J-Kom harus memainkan peranan ini, apatah lagi pada hari ini orang menganggap bahawa J-Kom seperti terlalu lembab untuk menyampaikan idea gagasan besar Perdana Menteri iaitu Malaysia Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jelajah Ikon Madani Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Biduanda, UiTM Kampus Rembau, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Mohd. Aizuddin Ghazali.

MOHAMMAD Agus Yusoff (tengah) bersama Aznil (dua dari kiri) dan Mohd. Aizuddin (kanan) menyerahkan sumbangan kepada mahasiswa sempena Jelajah Ikon Madani Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Biduanda, UiTM Kampus Rembau, Rembau hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

UiTM Rembau menjadi lokasi pertama program tersebut yang turut selepas ini ke lima buah institut pengajian tinggi (IPT) yang lain iaitu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang, Universiti Utara Malaysia (UUM) Kedah dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Program hari ini bermula dengan sesi Townhall Ikon Madani yang melibatkan selebriti terkenal tanah air, Datuk Aznil Nawawi bersama mahasiswa diikuti kemudiannya penyerahan sumbangan dan bantuan awal pendidikan termasuk cermin mata percuma kepada pelajar yang layak dari komuniti setempat.

Sementara itu, Mohammad Agus ketika dalam ucapannya berkata, Program Jelajah Ikon Madani merupakan aspirasi yang perlu diterapkan kepada pelajar-pelajar IPT.

Jelas beliau, ia merupakan platform bagi mengembangkan dan menukar idea serta pengalaman oleh ikon-ikon jemputan bersama para pelajar yang terlibat.

 “Madani membawa nilai-nilai baik, Perdana Menteri selalu bercakap perkara ini, lawan rasuah, tata kelola yang baik, keadilan sosial tidak kira bangsa, itu adalah orang Malaysia. Mahasiswa berwibawa ialah yang menghormati untuk-undang dan nilai Madani ini adalah universal,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.