LANGKAWI: Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA23) dijangka mampu mencapai janji niaga sehingga RM18 bilion sepanjang lima hari penganjurannya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, RM10 bilion daripada jumlah itu melibatkan Surat Setuju Terima (LoA) antara kementeriannya dengan syarikat berkaitan pertahanan.
“Bagi nilai komersial dianggarkan lebih RM7 billion akan ditandatangani untuk memuktamadkan perolehan tersebut.
“Jadi penganjuran LIMA23 dari segi nilai komersial, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan akan memberikan hasil yang baik dan pulangan kepada negara dan industri tempatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau persiapan akhir menjelang pembukaan LIMA23 di Resort World Langkawi (RWL), di sini, semalam.
Dalam pada itu, Mohamad berpuas hati dengan kerja-kerja persiapan akhir yang sedang rancak dijalankan melibatkan 525 pempamer tempatan dan antarabangsa berkaitan sektor pertahanan dan komersial.
“Saya gembira penyertaan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dan berminat untuk mempamerkan produk mereka begitu banyak kali ini kalau dibandingkan dengan edisi-edisi sebelumnya.
“Segmen maritim melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) dan negara lain pun banyak penyertaan sehingga ada negara nak minta hantar kapal perang pada saat akhir kita tak dapat lakukan kerana melibatkan beberapa aspek seperti lokasi berlabuh dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN










