Jangan Perasan: Ahmad Zahid tidak buat ‘homework’ - Utusan Malaysia

Jangan Perasan: Ahmad Zahid tidak buat ‘homework’

pas
KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas menyifatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak buat ‘homework’ atau kerja rumah dalam menjawab isu tawaran kepada parti itu untuk bekerjasama dalam kerajaan perpaduan.

Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, hakikatnya pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang terlebih dahulu menjemput Pas menyertai kerajaan perpaduan kerana kedudukan kerajaan genting ketika ini dan UMNO tidak lagi mendapat sokongan orang Melayu.

Oleh itu, menurut beliau, kenyataan Ahmad Zahid yang menyatakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ‘jangan nak perasan’ membayangkan Presiden UMNO itu tidak buat kerja rumah dalam menjawab isu.

“Ahmad Zahid perlu berhenti daripada menipu dan terus menipu ahli UMNO mahupun rakyat. Penipuan terbesarnya adalah propaganda tidak bersama DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi akhirnya bersama parti yang dibenci ahli UMNO sejak sekian lama.

“Perikatan Nasional (PN) akan terus mengatur langkah bersiap sedia sebagai kerajaan yang lebih profesional dan prihatin mendengar keluhan rakyat berbanding kerajaan porak-peranda PH-BN ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada minggu lalu, Ahmad Zahid menyindir Abdul Hadi sebagai ‘perasan’ apabila mendakwa ada pihak dalam kerajaan perpaduan menawarkan Pas menyertai kerajaan tersebut.

Timbalan Perdana Menteri itu mengulas kenyataan Abdul Hadi yang mendakwa pernah dihubungi beberapa kali oleh orang tertentu yang menawarkan kerjasama dalam kerajaan ketika ini.

Presiden Pas bagaimanapun dipetik mempersoalkan tawaran itu kerana tidak memberi kelebihan kepada partinya yang mempunyai kerusi yang lebih daripada parti lain. 

Ahli Parlimen Marang itu dilaporkan berkata, Pas hanya diundang untuk berfungsi menyumbang peningkatan jumlah kerusi bagi mengukuhkan kedudukan kerajaan perpaduan sahaja sedangkan sepatutnya parti itu menerajui kerajaan kerana memiliki kerusi terbanyak dalam Parlimen. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya