Berdebar sampai susah tidur, Ghea Indrawari belanja lagu belum terbit - Utusan Malaysia

Berdebar sampai susah tidur, Ghea Indrawari belanja lagu belum terbit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Ghea Indrawari, 28, membuat kejutan khas di Malaysia apabila memperdengaran lagu terbaharu yang belum diterbitkan khas buat peminat di Konsert Rasi Jiwa Live in Kuala Lumpur, malam tadi.

Ghea berkata, lagu bertajuk Daun-Daun itu belum pernah dipersembahkan di mana-mana platform sebelum ini diambil daripada kisah Sidratul Muntaha, iaitu daun yang tertulis nama seseorang akan gugur jika sudah sampai ajal.

“Lagu ini saya tulis ketika pulang ke kampung pada sambutan Lebaran lalu. Apabila berkumpul dan melihat wajah ibu saudara yang semakin dimamah usia, saya tersedar bahawa tiada apa yang abadi di dunia ini.

“Melihat mereka, saya teringat tentang kisah daun-daun yang gugur itu. Jika boleh, saya mahu semua orang yang saya sayang kekal di sisi kerana saya sangat takut dengan perpisahan,” katanya dalam konsert berkenaan.

Bercerita lanjut mengenai konsert solo pertama di Malaysia, Ghea menyifatkan malam itu sebagai satu ‘janji temu’ untuk memperkenalkan karyanya secara lebih dekat kepada peminat di Malaysia.

Malah, dia mengakui terlalu berdebar sehingga mengalami gangguan tidur sebelum menjelangnya hari konsert.

“Saya panggil malam ini sebagai janji temu. Saya mahu kalian mengenali lagu-lagu saya, mana tahu ada antara bait liriknya mewakili perasaan yang sedang kalian lalui hari ini.

”Saya sangat berdebar menunggu hari konsert, malam tadi saya tak boleh tidur,” katanya yang turut mengakui menyukai nasi lemak.

Dalam pada itu, penonton turut dibawa menyelami fasa sukar perjalanan seninya menerusi satu sesi khas Ghea membacakan surat buat dirinya sewaktu kecil.

Ghea mendedahkan, perjalanan untuk bergelar penyanyi bukan satu laluan mudah kerana dia terpaksa menghasilkan 10 lagu dalam tempoh lima tahun sebelum bakatnya benar-benar mendapat tempat di hati peminat.

“Ghea kecil, hidup ini tidak mudah dan penuh kejutan. Namun, tuhan mengirimkan ‘malaikat tidak bersayap’ iaitu kalian semua yang hadir memberikan sokongan malam ini,” katanya lagi.

Sepanjang dua jam persembahan di Zepp Kuala Lumpur, Ghea memukau penonton dengan rangkaian 16 buah lagu termasuk hits kegemaran ramai, Jiwa Yang Bersedih dan Manusia Paling Bahagia. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN