Sudan: AS beri penghargaan pada Malaysia

Isu Sudan: AS beri penghargaan kepada Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amerika Syarikat (AS) berterima kasih kepada Malaysia yang berjaya membawa dua warganegaranya keluar daripada Sudan semasa proses evakuasi dan menyelamat rakyat negara ini.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada Setiausaha AS, Antony Blinken yang ingin merakamkan penghargaan kepada Malaysia kerana membantu membawa keluar warganya daripada Sudan.

“Setiausaha Negara AS secara khusus merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas bantuan membawa keluar dua orang warganegaranya semasa proses evakuasi rakyat Malaysia dari Sudan.

“Usaha dilakukan oleh pihak wakil Malaysia diketuai oleh Wisma Putra jelas membuktikan bahawa bantuan diberikan tanpa mengira warganegara sangat-sangat dihargai sehingga sanggup berhadapan dengan risiko yang tinggi,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 30 rakyat Malaysia di Sudan berjaya dipindahkan selepas menempuh perjalanan sejauh 1,233 kilometer (KM) yang mengambil masa kira-kira 30 jam melalui proses evakuasi.

Dalam misi tersebut, Malaysia turut membantu membawa keluar enam warga Kemboja, Singapura (14 orang), AS (dua orang) dan masing-masing seorang warga Filipina, Thailand, Palestin serta Sudan.

Situasi getir tersebut terpaksa dihadapi oleh rakyat Malaysia dan warganegara lain di Sudan selepas peperangan tercetus di sana akibat daripada krisis yang dihadapi oleh pihak tentera nasional dan Pasukan separa tentera iaitu Rapid Support Forces (RSF).

Sementara itu, Zambry memaklumkan bahawa beliau bersama Blinken turut menukar pandangan mengenai kerjasama dua hala, isu serantau dan antarabanga yang berkepentingan bersama.

“Kerjasama dua hala seperti peluang kerjasama perdagangan dan pelaburan, pertukaran lawatan, ekonomi digital, serta perubahan iklim,” jelasnya.

Tambahnya, kedua-dua pihak sepakat untuk terus melaksanakan usaha-usaha memperkukuhkan perkongsian komprehensif Malaysia-AS.

“Semoga hubungan antara Malaysia-AS dapat terus kekal dan mencapai tahap yang lebih tinggi dalam konteks dua negara dalam pelbagai bidang,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN