Isu perkhidmatan air fokus utama RMK12, RMK13 - Rafizi - Utusan Malaysia

Isu perkhidmatan air fokus utama RMK12, RMK13 – Rafizi

RAFIZI Ramli (tengah) dalam sidang akhbar pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK12 Bersama Kerajaan Negeri Pahang, di Swiss-Belhotel di Kuantan, Pahang. - FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kementerian Ekonomi akan memberikan tumpuan utama penambahbaikan perkhidmatan air negara dalam tempoh dua tahun terakhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan diteruskan pada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pelaburan untuk penambahbaikan perkhidmatan air itu menelan belanja yang besar, justeru ia mengambil masa lebih enam tahun untuk diselesaikan.

“Tumpuan akan diberikan bermula dua tahun terakhir RMK12, namun ia akn berlanjutan sehingga RMK13 dan saya membayangkan ia akan menjadi fokus utama dalam tempoh 2024 ke atas sehingga 2030,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK12 Bersama Kerajaan Negeri Pahang di Swiss-Belhotel di sini hari ini.

Rafizi berkata, beliau menjangkakan isu berkaitan bekalan air di seluruh negara sekurang-kurangnya mencapai 50 peratus selesai menjelang 2030.

Menurutnya, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bagi mencari jalan menyelesaikan masalah dihadapi syarikat operator air yang dimiliki kerajaan negeri secara bersepadu dan menyeluruh.

“Minggu lalu kami berjumpa ketua semua syarikat air di seluruh negara untuk mendengar dan melihat sendiri kemampanan kewangan kerana ada isu-isu tertentu yang terpaksa dihadapi mereka untuk memastikan soal ganti paip dan sebagainya.

“Kementerian mengambil pendirian untuk tidak hanya menumpukan masalah air di Kelantan dan Sabah, malah perancangan itu mengambil kira seluruh negara. Ini bukan soal infrastruktur sahaja malah juga meliputi soal kemampanan kedudukan kewangan syarikat-syarikat air oleh kerajaan-kerajaan negeri yang perlu dipastikan berada dalam keadaan stabil, justeru isu ini mengambil sedikit masa. Bagi kami masa untuk selesaikan isu ini,” katanya.

Rafizi juga berkata, selepas melalui beberapa proses, Kementerian Ekonomi dan NRECC akan membentangkan modul-modul yang boleh diambil kira bersesuaian dengan kemampuan kewangan diperingkat kerajaan persekutuan mahupun negeri bagi menyelesaikan masalah air berkenaan.

“Kita sedang bergerak ke hadapan. Secara dasarnya kita memang mahu melihat perkhidmatan air di seluruh negeri akan di tambah baik di masa akan datang. Dan itu sudah tentulah akan memerlukan peruntukan yang lebih dan itulah juga yang akan menjadi tugas saya dan kementerian supaya ada peruntukan untuk menambahbaik perkhidmatan air,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan semalam dilaporkan berkata, berdasarkan perancangan, usaha mengatasi masalah air di Kelantan dan Sabah mengambil masa terlalu panjang dalam RMK12 dan Belanjawan 2023.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata, kerajaan sedang mempersiapkan kajian semula separuh penggal RMK12 dan akan mengadakan perbincangan di peringkat Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan dan Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya