Ikan mahal: Dulu satu tong RM80, sekarang sampai RM200 - Utusan Malaysia

Ikan mahal: Dulu satu tong RM80, sekarang sampai RM200

JALAL Hassan memotong ikan di gerainya di Pasar Besar MBMB, Bachang, Melaka. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiada kawalan di pe­ringkat peraih dan pemborong dipercayai menjadi punca harga ikan semakin mahal di Melaka.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bachang di sini mendapati, rata-rata pembeli dan penjual yang ditemui mengeluh harga ikan naik mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pembeli, Seri Dewi Dewa, 52, berkata, harga ikan dikesan mengalami peningkatan ketara selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat dan trend itu berterusan tanpa ada usaha daripada pihak berwajib untuk mengawalnya.

Katanya, sebagai pembeli dia akan meninjau terlebih dahulu beberapa kedai untuk mencari harga lebih murah.

“Banyak tempat saya pergi tetapi harga tetap sama. Dulu ikan tenggiri RM28 sekilogram, sekarang RM36 sekilogram manakala kembung naik sehingga RM13 sekilogram berbanding RM8 sekilogram sebelum ini.

“Penjual memberi alasan mereka hanya mengikut harga pasaran. Kalau keadaan ini berterusan, bawa wang RM50 ke pasar pun belum tentu boleh beli seekor ikan,” katanya.

Sementara itu, penjual ikan, Jalal Hassan, 50, mengakui ketia­daan kawalan di peringkat peraih dan pemborong menyebabkan harga ikan melambung tinggi.

Menurutnya, harga ikan yang semakin mahal menyebabkan jualannya merosot dan majoriti peniaga kecil terpaksa memilih jenis ikan serta mencatu jumlah yang hendak dibeli daripada pemborong.

“Saya sebagai peniaga pun tersepit dengan kenaikan harga ini. Sebelum ini kos satu tong ikan adalah RM80 tetapi sekarang naik kepada RM200 hingga RM300.

“Saya takut hendak ambil banyak kerana yang tidak habis dijual akan dibuang. Saya mohon kepada pihak berwajib segera pantau harga ikan kerana situasi sekarang sangat membebankan kepada penjual dan pembeli,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×