Hubungan DAP-UMNO tidak jejas usaha tarik undi Cina

Hubungan DAP-UMNO tidak jejas usaha tarik undi Cina

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP tidak me­­lihat hubungan dengan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dalam Ke­rajaan Perpa­duan akan menjejaskan peluang menarik pengundi muda dan kaum Ci­na dalam pilihan raya negeri (PRN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, kerjasama kedua-dua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN memberi peluang kepada DAP sendiri untuk mendekati kaum-kaum lain khususnya Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak.

“Baru-baru ini, Bank Negara mengumumkan pembangunan ekonomi negara dalam suku tahun pertama 2023 berjaya mencatatkan 5.6 peratus, sekali gus menjadikan Malaysia negara yang mengalami pertumbuhan ekonomi paling pesat di Asia mengatasi Indonesia, Vietnam, China dan Korea Selatan.

“Apabila UMNO dan DAP berpolitik secara matang dan bersikap profesional, ia berjaya menyatukan masyarakat berbilang kaum dalam negara ini dan perkembangan positif sedemikian amat penting dalam usaha gigih kita membina negara Malaysia Madani.

“Ini adalah peluang amat positif untuk DAP mendekati kaum lain. Apabila parti politik kerajaan berazam fokus untuk membangunkan ekonomi, memupuk perpaduan nasional serta membela keharmonian kaum dan agama, Malaysia telah kembali ke landasan yang betul dan peluang mengembalikan kecemerlangan negara semakin menyerlah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Bendahari DAP Selangor, Dr. Ong Kian Ming pula berkata, tidak timbul isu sokongan parti itu akan berkurang sebaliknya ia menjadi nilai tambah bagi DAP mendekati lagi kepelbagaian kaum bagi mewujudkan parti yang bukan sahaja dipimpin kaum tertentu.

“Kerajaan Perpaduan te­lah memberi satu mesej jelas iaitu pasukan yang menyeluruh yang mendapat sokongan segenap lapisan masyarakat. Orang muda lebih kepada mesej positif dan dengan ini saya rasa ada kemungkinan orang muda akan terus memberi sokongan kepada parti dalam gabungan.

“Kesannya, ia menjadi nilai tambah kepada semua parti untuk menarik pengundi daripada sesiapa sahaja. Contohnya, saya lihat Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang dianjur minggu lalu menunjukkan kerjasama baik. Ini petanda baik yang mana kerjasama ini boleh dilanjut dengan baik selepas pilihan raya negeri,” kata bekas Ahli Parlimen Bangi itu.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP Pusat, Ronnie Liu berkata, beliau yakin dan percaya bahawa semua ahli politik kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia sudah menerima konsep Kerajaan Perpaduan kerana semua pihak mahukan kestabilan politik.

“Jadi, kalau dalam pilihan raya negeri akan datang selagi BN dan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama, saya rasa orang Cina, India yang dahulunya tidak sokong UMNO akan sokong UMNO. Orang Melayu yang dahulu tidak sokong PH pula akan sokong PH.

“Ini kerana mereka semua sudah menerima konsep Kerajaan Perpaduan yang diilham bermula daripada Raja-Raja Melayu. Semua mahukan politik dan ekonomi kembali stabil,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presi­den Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa, ahli UMNO dan DAP sebenarnya masing-masing tidak suka bekerjasama antara satu sama lain dalam Kerajaan Perpaduan.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Aziz Bari pula dilaporkan berkata, peranan UMNO menarik sokongan orang Melayu masih tidak jelas memandangkan peranan itu kini dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed sebaliknya berkata, DAP harus sedar parti itu menjadi liabiliti bagi PH dalam usaha memikat sokongan pengundi Melayu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN