Guru berbakti 30 tahun didik anak-anak Felda - Utusan Malaysia

Guru berbakti 30 tahun didik anak-anak Felda

ZALINA Ismail (baris belakang, tengah) diraikan oleh guru-guru dan anak murid pada majlis persaraannya di SMK (Felda) Palong 7, Jempol hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Bagi kebanyakan penduduk di Felda Palong 7 di sini sudah pasti mereka mengenali seorang guru bernama Zalina Ismail, 56, yang telah memberikan didikan kepada anak-anak di tanah rancangan itu sejak lebih 30 tahun yang lalu.

Istimewanya Zalina bagi anak-anak di situ, sejak mula bergelar seorang pendidik pada tahun 1992, dia kekal mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (Felda) Palong 7 sehinggalah bersara secara rasmi hari ini.

Zalina yang merupakan Guru Penolong Kanan (GPK) Hal Ehwal Murid (HEM) sekolah itu berkata, beliau amat bersyukur ditempatkan di sekolah berkenaan apatah lagi rumah keluarganya juga jauh dan hanya terletak di Felda Palong 3.

“Sejak itu saya mula menyimpan hasrat untuk memastikan anak-anak peneroka seperti saya mampu menguasai mata pelajaran matematik tambahan yang saya ajari. 

“Saya pernah menolak tawaran untuk berpindah ke sekolah lain memikirkan anak-anak murid saya di sekolah ini, mereka semua sudah seperti satu tanggungjawab buat saya, Alhamdulillah, tuhan memberikan izin untuk saya terus mengajar di sini sehingga bersara malah ada anak murid yang sudah menjadi rakan sekerja saya di sekolah ini,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis persaraannya yang diadakan di sekolah tersebut hari ini. Yang hadir sama, Pengetua SMK  (Felda) Palong 7, Janab Baharudin.

Sementara itu, seorang guru mata pelajaran sains yang juga bekas anak murid Zalina iaitu, Nor Rafiah Hussin, 34, berkata, gurunya itu seorang yang tegas semasa mengajar namun penyayang kepada anak-anak muridnya.

“Di sebalik sikap tegasnya, beliau merupakan seorang yang sangat penyayang serta sanggup memberikan kelas tambahan secara percuma kepada anak-anak muridnya.

“Anak-anak Felda seperti kami memang bergantung sepenuhnya kepada guru-guru kerana kami sukar untuk ke bandar bagi menyertai kelas tambahan berbayar. Alhamdulillah, ramai yang dapat keputusan cemerlang dalam mata pelajaran matematik tambahan,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya