Guaifenesin Syrup TG Syrup tidak berdaftar di negara ini - KKM

Guaifenesin Syrup TG Syrup tidak berdaftar di negara ini-KKM

-IHSAN KKM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan sirap ubat batuk tercemar dikenali Guaifenesin Syrup TG Syrup tidak berdaftar di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Mohd Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, produk yang dikilangkan oleh QP Pharmachem Ltd. (Punjab, India) itu dikesan mengandungi diethylene glycol dan ethylene glycol melebihi had yang dibenarkan.

“Semakan ke atas pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM mendapati bahawa produk tersebut tidak berdaftar di Malaysia.

“Kami sedia maklum mengenai amaran dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 25 April lalu mengenai sirap ubat batuk tercemar itu.

“Pengambilan produk sirap ubat batuk yang tercemar dengan diethylene glycol (DEG) dan ethylene glycol (EG) adalah toksik kepada manusia yang boleh memberikan pelbagai kesan sampingan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, antara kesan sampingannya termasuk sakit pada bahagian abdomen, muntah, cirit-birit, kesukaran untuk membuang air kecil, sakit kepala, perubahan pada keadaan mental dan kecederaan yang teruk pada buah pinggang.

Muhammad Radzi berkata, produk yang tercemar itu adalah tidak selamat untuk digunakan terutama di kalangan kanak-kanak kerana ia boleh menyebabkan kesan yang serius atau kematian.

“Meskipun produk ini tidak berdaftar di Malaysia, kami ingin mengambil kesempatan untuk menasihati orang awam yang menggunakan ubat itu supaya segera menghentikan penggunaannya.

“Sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat berhubung penjualan produk tidak berdaftar di pasaran, aduan boleh dibuat melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di http://moh.spab.gov.my,” katanya.

Katanya, orang awam juga digalakkan membuat aduan sekiranya terdapat keraguan tentang kualiti dan keselamatan produk yang digunakan.

Pada masa sama, Muhammad Radzi berkata, KKM akan menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan terjamin serta akan memaklumkan perkembangan kepada orang ramai dari semasa ke semasa. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya