SHAH ALAM: Kes perbicaraan hak penjagaan anak bagi pasangan pelakon Farid Kamil, 42, dan Diana Daniella, 33, akan diteruskan selepas tiada kesepakatan yang dicapai dalam prosiding sulh di sini, semalam.
Peguam mewakili Diana, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff berkata, tiada keputusan sepakat dalam prosiding sulh mediasi untuk isu hadanah induk (penjagaan anak secara kekal) semalam, maka kes akan dibawa ke mahkamah pada 1 Ogos ini.
“Ini adalah proses biasa, selepas kami failkan ia akan dibawa ke sulh mediasi. Kalau pihak-pihak bersetuju untuk terma-terma, ia boleh direkodkan sebagai perintah mahkamah.
“Tapi setakat ini tidak ada lagi persetujuan dicapai, jadi kami akan teruskan dengan sesi sebutan untuk mahkamah,” katanya di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.
Menurut Puteri Ummi Kartini, Diana tetap dengan pendirian untuk mendapatkan hak penjagaan penuh tanpa menafikan hak Farid untuk bertemu anak-anak.
“Kami tetap dengan pendirian untuk mendapatkan hak jagaan dan defendan hak jagaan. Kami tidak pernah nafikan dan anak guam sentiasa fleksibel untuk defendan berjumpa anak-anaknya.
“Selepas ini sebutan kes akan berlangsung dalam mahkamah di hadapan hakim,” katanya.
Terdahulu, Farid dan Diana hadir di Mahkamah Tinggi Syariah, bagi prosiding sulh bagi kes hadanah induk (penjagaan anak secara kekal).
Sebelum ini, Diana memfailkan permohonan cerai pada 10 Mac lalu Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Alasan yang diberikan pelakon itu dalam permohonannya ialah tiada persefahaman dan berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan. – UTUSAN










