Duit judi: Muhyiddin tuntut PM, TPM mohon maaf - Utusan Malaysia

Duit judi: Muhyiddin tuntut PM, TPM mohon maaf

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muh­yiddin Yassin akan menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta maaf atas dakwaan parti itu menggunakan wang judi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam berkata, beliau akan berbincang dengan peguam berhubung tindakan seterusnya.

“Apa yang dah diungkapkan PM dan TPM yang menyatakan kami pada pilihan raya lepas menggunakan wang judi. Kenyataan menteri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said) menyatakan tidak ada satu pun petanda bahawa perkara itu betul.

“Jadi bagi saya, pertuduhan itu fitnah dan suatu pemboho­ngan. Kita akan bincang de­ngan peguam kita apa langkah seterusnya yang kita akan ambil terhadap kenyaatan-kenyataan dibuat PM dan TPM.

“InsyaAllah kita akan teliti dan pertama, kita akan minta, tuntut supaya mereka (Anwar dan Ahmad Zahid) mohon maaf. Ini satu fitnah dan pertuduhan yang berat,” katanya ketika ditemui media.

Semalam, Azalina ketika menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) di Parlimen menyatakan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) tidak dapat mengesahkan dakwaan bahawa PN menggunakan hasil daripada syarikat judi untuk membiayai kempen PRU15.

Azalina dilaporkan berkata siasatan terperinci berhubung dakwaan itu telah dijalankan namun SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan.

Pada 5 Disember 2022, Anwar ketika sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya menyatakan berkemungkinan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” kata Anwar pada sidang media itu.

Pada keesokan harinya, Ahmad Zahid mengulangi dakwaan sama dalam ucapan Program Himpunan Rakyat Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Terbuka Rompin, Pahang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN