Dua penunggang bergaduh kerana motosikal bergesel - Utusan Malaysia

Dua penunggang bergaduh kerana motosikal bergesel

TANGKAP layar rakaman video pergaduhan membabitkan dua penunggang motosikal yang terpaksa dileraikan oleh beberapa penunggang lain di laluan keluar CIQ BSI, Johor Bahru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua penunggang ditahan kerana bergaduh disebabkan motosikal mereka bergesel ketika melalui kaunter M-Bike di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika kedua-duanya dalam perjalanan pulang dari Singapura ke negara ini.

Pada awalnya mereka mencabar antara satu sama lain dan keadaan bertukar tegang sebelum kedua-duanya yang bekerja di Singapura itu berbalas tumbukan.

“Kejadian ini berpunca apabila motosikal dinaiki salah seorang suspek tergesel motosikal ditunggang seorang lagi suspek di laluan motosikal di CIQ BSI.

“Pergeselan itu menyebabkan mereka mula bertengkar lalu cabar mencabar sebelum mula bergaduh apabila melepasi kaunter M-Bike seperti dalam video yang tular itu,” katanya ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) JBS, di sini hari ini.

Jumaat lalu, tular rakaman video berdurasi 14 saat memaparkan insiden pergaduhan antara penunggang motosikal berkuasa tinggi dengan seorang lagi lelaki.

Pergaduhan itu menyebabkan laluan tersebut sesak sehingga menyebabkan penunggang motosikal lain yang berada di lokasi terpaksa meleraikan mereka.

Raub berkata, suspek pertama berusia 27 tahun telah ditahan dan kini masih dalam tahanan reman selama empat hari hingga esok dan ujian saringan air kencing mendapatinya positif ganja serta mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

“Seorang lagi suspek berusia 34 tahun telah ditahan semalam di sekitar daerah ini dan perintah reman akan dipohon hari ini,” katanya sambil memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan ketika kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya