DPPN Pahang serah memorandum isu air kepada ADUN PN - Utusan Malaysia

DPPN Pahang serah memorandum isu air kepada ADUN PN

MOHD ZARINI Abu Zih (tengah) menyerahkan memorandum berkaitan isu air negeri ini kepada Tuan Ibrahim Tuan Man (empat dari kanan) untuk dibentangkan dalam sidang DUN di Wisma Sri Pahang di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dewan Pemuda Pas Negeri (DPPN) Pahang hari ini menyerahkan memorandum aduan rakyat berkaitan isu air kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) untuk dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula semalam hingga Jumaat ini.

Ketua Pemuda Pas negeri, Mohd. Zarimi Abu Zih berkata, melalui wakil rakyat PN, inisiatif ini diambil bagi menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan isu air yang berlaku sejak sekian lama.

Katanya, dalam memorandum itu terkandung aduan-aduan yang diterima oleh penduduk di sembilan daerah di negeri ini tentang pelbagai isu berkaitan masalah bekalan air.

“Kami minta kerajaan negeri menjelaskan tentang pelbagai isu berkaitan masalah air termasuk kerugian yang berlaku bermula 2021 hingga 2022 dan kita lihat saban tahun gangguan bekalan air tidak selesai.

“Kami ambil Inisiatif untuk bawa isu rakyat dan minta Yang Berhormat PN menjadi semak dan imbang kepada kerajaan negeri berkaitan isu ini,” katanya dalam sidang akhbar setelah menyerahkan memorandum kepada ADUN Cheka yang juga Ketua Pembangkang DUN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, memorandum isu air yang diserahkan DPPN Pahang akan dibawa untuk perhatian kerajaan negeri berdasarkan masalah disenaraikan.

“Ini termasuklah masalah loji-loji rawatan air lama yang perlu dinaik taraf, isu gangguan bekalan air dan kes-kes paip pecah. Perkara ini perlukan perhatian dan tindakan kerajaan negeri supaya masalah gangguan bekalan air yang berlaku dapat diselesaikan.

“Kami lihat ada beberapa langkah yang boleh diambil yang nanti akan dijawab oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam sidang DUN nanti,” katanya.

Beliau turut meminta kerajaan negeri mewartakan kawasan tadahan air sebagai hutan simpan kekal.

“Ini bagi memastikan sumber bekalan air tidak terjejas disebabkan aktiviti penerokaan untuk pembalakan dan pelombongan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya