Dasar perolehan kapal sedia ada diteruskan

Dasar perolehan kapal sedia ada diteruskan

Mohamad Hasan meninjau persiapan akhir LIMA23 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) Langkawi, semalam. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kerajaan tidak bercadang untuk menggubal dasar baharu berkaitan perolehan atau pembinaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meskipun terpalit dengan isu kapal tempur persisir (LCS) sebelum ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dasar sedia ada tidak berdepan apa-apa isu, sebaliknya situasi yang berlaku adalah disebabkan kelemahan pengurusan.

“Ia bukan masalah dasar, tidak ada apa-apa isu dengan dasar. Dasar itu baik untuk mengembangkan industri pertahanan negara tetapi ma­salahnya adalah pengurusan.

“Jadi setakat ini saya rasa belum ada keperluan untuk mengubah dasar tersebut, boleh jadi masa depan ada keperluan,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau persiapan akhir Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA23) di sini, semalam.

Isu pembinaan LCS mencetuskan kontroversi apabila sejumlah RM6 bilion telah di­belanjakan sejak 2014, namun sehingga kini masih belum siap atau diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkenaan.

Bagaimanapun, sebuah da­ripada enam kapal yang terlibat diyakini siap pada tahun depan sebelum kapal kedua, ketiga dan keempat dijangka mengambil masa dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Sebelum ini, Mohamad dilaporkan berkata, kepakaran limbungan tempatan untuk membina kapal yang sederhana besar bukan suatu yang mustahil, namun memerlukan kerjasama rakan dan teknologi dari luar negara untuk membina alat komunikasi dan persenjataan.

Sementara itu, mengulas lanjut, beliau meminta industri tempatan tidak perlu meragui dasar-dasar kerajaan kerana ianya akan diteruskan dan dijayakan mengikut perancangan dengan sebaik mungkin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN