Dasar gaji progresif perlu demi rakyat – MTUC - Utusan Malaysia

Dasar gaji progresif perlu demi rakyat – MTUC

EFFENDY ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggubalan dasar gaji progresif langkah terbaik buat rakyat dan pelan mencapainya tidak boleh sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Effendy Abdul Ghani berkata, gaji progresif adalah gaji munasabah dan bermaruh yang menang-menang untuk kerajaan, majikan dan pekerja.

Menurut beliau, tindakan menggubal dasar itu menggambarkan kerajaan serius mahu membantu rakyat mendapat pendapatan setanding dengan pertumbuhan ekonomi.

“Apabila ada pengumuman daripada Kementerian Ekonomi, ia menampakkan betapa serius kerajaan untuk mulakan perbincangan awal dan lebih agresif selepas ini untuk kita beralih kepada gaji progresif,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, media me­laporkan, kerajaan sedang meneliti secara dasar sistem gaji progresif di negara ini dengan perbincangan serta proses libat urus me­ngenainya sudah bermula membabitkan pelbagai sek­tor.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, dasar atau model gaji progresif akan dibangunkan secara bersama membabitkan kementeriannya, Kementerian Kewangan (MOF); Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Rafizi berkata, dasar itu akan diselaras dengan sasaran Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) supaya nisbah hasil ekonomi yang diberi kepada pekerja dalam bentuk gaji dan pampasan meningkat daripada paras semasa iaitu sekitar 36 peratus kepada 40 peratus.

Pada masa sama, Effendy berkata, MTUC mengharapkan kesatuan pekerja dan majikan akan turut dilibatkan sama dalam bergerak ke arah agenda tersebut.

Namun, katanya, kemungkinan pada peringkat awal ia hanya melibatkan maklum balas daripada kementerian terlibat sebelum dipanjangkan kepada semua pemegang taruh untuk membincangkan secara mendalam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN