MEKAH: Cuaca panas yang mencapai sehingga 37 darjah Celsius dan kedudukan Maktab Janadriah Tabung Haji yang terletak agak jauh dari Masjidilharam memerlukan jemaah mempunyai stamina yang cukup sepanjang berada di Tanah Suci.
Selain itu, kehadiran jemaah yang ramai dari serata dunia akan membuatkan kawasan ibadat terutama ketika tawaf dan saie bagi mereka yang melakukan umrah menjadi padat dan terpaksa berhimpit.
Keadaan itu dirasai sendiri oleh petugas Tabung Haji yang selesai melakukan tawaf wajib sekitar pukul 7 pagi (waktu tempatan) apabila melihat Masjidilharam tak putus-putus menerima kunjungan jemaah.
Cuaca panas seawal pukul 7.30 pagi pasti akan membuatkan jemaah kehabisan tenaga dan memerlukan mereka minum air yang banyak bagi mengelakkan hidrasi.
Ditambah pula perlu berjalan kaki hampir dua kilometer pergi balik di bawah terik matahari menuntut kesabaran yang tinggi kumpulan jemaah haji pertama yang akan tiba pada minggu depan.
Apa yang pasti, cabaran dan dugaan di Tanah Suci bermula setelah kita menjejakkan kaki di sini.
Sebaik sahaja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah, jemaah akan sekali lagi diminta untuk memberikan kesemua cap jari walaupun ia telah dilakukan secara online melalui aplikasi Saudi visa bio.
Jika tak kena gaya, alat yang digunakan sukar mengesan cap jari dan jemaah akan dibawa ke bilik soal siasat. Apa yang pasti, proses untuk keluar dari kaunter pemeriksaan akan menjadi lama kerana prosedur ketat yang diamalkan oleh kerajaan Arab Saudi.
Situasi sama dipercayai akan dilalui oleh jemaah yang pergi ke Madinah terlebih dahulu sebelum waktu haji.
Namun, segala kesulitan akan terlerai sebaik selesai melakukan umrah dan sudah pasti kawasan kedai makan dan kedai gunting rambut di menara jam menjadi destinasi seterusnya.
Setakat semalam, bayaran mencukur kepala masih pada harga 10 Riyal (RM13) tetapi kedai tersohor bagi jemaah Malaysia, D’Saji pula ditutup kerana proses ubah suai.
Seperti biasa, pekedai di sini boleh memahami bahasa Melayu dan gelagat mereka menarik perhatian pelanggan masih seperti sebelum ini di mana mereka akan menarik tangan jemaah yang melalui kawasan kedai masing-masing.
Apa pun, persediaan kerajaan Arab Saudi sempena musim haji tahun ini dilakukan dengan penuh terancang dan terdapat pasukan khas tambahan yang ditubuhkan untuk mengawal situasi tawaf dan keseluruhan bangunan Masjidilharam. – UTUSAN










