PETALING JAYA: Cuaca panas dan jerebu berpanjangan yang melanda negara boleh menjejaskan produktiviti serta kualiti tanaman dan ternakan.
Pakar Meteorologi Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata, jika tahap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) adalah tinggi ia akan mengganggu proses fotosintesis.
“Dalam kes ini ia tidak akan menjejaskan hasil jumlah pengeluaran, namun, apa yang kita akan lihat ialah kualiti terhadap sayur-sayuran dan buah-buahan tersebut.
“Tanaman akan terbantut, disebabkan kurangnya dedahan terhadap sinaran matahari dan menyebabkan petani tidak berjaya menghasil keluaran yang berkualiti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dijangka pada Jun, El-Nino bakal berlaku sehingga menyebabkan keadaan cuaca lebih panas dan kering sehingga Oktober.
Sebelum ini, Pakar Klimatologi dan Felo Akademi Sains Malaysia, Dr. Fredolin Tangang berkata, keadaan tersebut berlaku ekoran daripada musim monsun barat daya iaitu berlaku tempoh kering dan panas di negara ini.
Mengulas lanjut, Dr. Azizan berkata, taburan hujan yang sedikit ketika cuaca panas yang berpanjangan juga turut akan memberi kesan kepada tanaman di kawasan tanah tinggi.
Katanya, sektor pertanian perlu bersedia untuk menyimpan bekalan air yang mencukupi bagi tanaman mereka.
Dalam pada itu, jelas beliau, jika tahap jerebu di bacaan yang sangat tinggi ini akan menghalang sektor pertanian untuk mengurus tanaman mereka.
“Pendedahan terhadap udara yang tidak bersih terutama ketika jerebu adalah tidak dibenarkan sama sekali, kerana akan menjejaskan kesihatan manusia.
“Melihat dari situasi tersebut, para pekerja di sektor pertanian yang meilbatkan aktiviti luar juga turut terjejas,” jelasnya. –UTUSAN










