Carilamat ditangguh, tiga kru masih gagal ditemukan - Utusan Malaysia

Carilamat ditangguh, tiga kru masih gagal ditemukan

OPERASI Carilamat tiga kru kapal MT Pablo ditangguhkan sehingga petunjuk baharu ditemukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Operasi Carilamat tiga kru MT Pablo yang memasuki hari kelima ditangguhkan apabila masih menemukan jalan buntu setakat ini.

Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, usaha pencarian ditumpukan di dalam kapal MT Pablo di bahagian anjungan kapal sehingga ke bilik jentera.

Operasi dijalankan dengan bantuan sebuah kapal maritim KM Redang dan dua bot ronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Seramai 31 pegawai dan anggota Maritim Malaysia dibantu 11 orang pasukan Hazardous Material Unit Team (Hazmat) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta dua kru kapal 

MT Pablo telah tiba di lokasi kapal tangki tersebut pada pukul 1 petang semalam.

“Tumpuan utama terarah di dalam kapal MT Pablo di bahagian anjungan kapal sehingga ke bilik jentera, namun tiada mangsa ditemukan.

“Hasil pencarian yang dilaksanakan sehingga Operasi Carilamat ini ditangguhkan pada pukul 7 petang setelah tidak menemukan sebarang petunjuk bahawa tiga kru yang masih hilang berada di dalam kapal tangki terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isnin lalu media melaporkan tiga kru kapal berkenaan hilang dalam kejadian kebakaran tersebut, manakala 25 yang lain berjaya diselamatkan dengan bantuan dua kapal yang berada berhampiran lokasi kejadian.

Mangsa yang masih hilang dikenal pasti sebagai Satyam Tripathi, 26, dan Dinesh Kumar Chauhan, 34, masing-masing warganegara India dan seorang warganegara Ukraine, Sabit Shenderovsky, 37.

Mengulas lanjut, Nurul Hizam memberitahu, pesawat udara AW139 milik Maritim Malaysia turut melakukan ‘safety past’

bersama Unit Tindakan Khas (UTK) dan mendapati sudut kecondongan kapal semakin bertambah dan kelihatan asap keluar dari corong atas sebelah kanan kapal tersebut.

“Berdasarkan hasil pencarian dan penilaian keselamatan kapal tangki tersebut, pihak MRSC Johor Bahru telah menangguhkan Operasi Carilamat ini sehingga petunjuk baru ditemukan,” katanya sambil mengucap terima kasij kepada semua pihak yang membantu dalam operasi tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN