MEKAH: Memasak 840 kilogram beras bersama hidangan dengan cita rasa Malaysia setiap hari adalah antara cabaran bagi lebih 30 petugas bahagian masakan yang dibawa oleh Lembaga Tabung Haji.
Ketua Cef, Wan Noor Zamran Hashim, 52, berkata, untuk itu, mereka perlu memastikan rempah-ratus, ikan bilis, udang kering, cili kering dan belacan dibawa dari Malaysia dalam jumlah yang mencukupi.
Beliau berkata, lebih 30 tukang masak dipilih untuk tugasan tersebut pada musim haji tahun ini dengan sebahagiannya merupakan warga tempatan.
RUTIN
Katanya, rutin harian mereka bermula seawal pukul 3.30 pagi dan berakhir pada waktu maghrib bagi menyediakan sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam buat petugas TH dan jemaah yang menetap di 12 buah maktab.
“Kami gembira dan seronok berkhidmat kepada duyufurrahman supaya kekal sihat dan bertenaga walaupun kami tidak dapat kerap solat di Masjidilharam atau Masjid Nabawi.
“Kita masak dengan cita rasa Malaysia. Kita membawa rempah ratus dari Malaysia manakala bahan basah seperti ayam dan ikan boleh didapati di pasar besar di sini,” katanya ketika ditemui di Maktab Janadriah di sini semalam.
Menurut Wan Noor Zamran, makanan yang paling digemari ialah nasi ayam dan setiap Jumaat mereka akan memasak menu istimewa manakala menu sarapan pula ialah bihun, nasi goreng dan nasi lemak selain roti canai.
Tambahnya, setiap kali memasak, mereka akan membuat dalam nisbah 1:1.5 bagi mengelakkan makanan tidak cukup yang akan mengganggu mood jemaah.
RINDU
“Objektif memasak makanan cita rasa Malaysia ialah untuk mengubat kerinduan jemaah kepada kampung halaman kerana mereka tinggal di sini agak lama,” katanya.
Jelas Wan Noor Zamran, petugas masakan juga berpeluang mengerjakan haji ketika mereka melakukan tugasan yang sama ketika jemaah berada di Mina, Muzdalifah dan Arafah.
Tambahnya, petugas sentiasa diingatkan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kerana mungkin ini merupakan peluang terakhir dipilih ke Tanah Suci.
“Saya berkhidmat sejak 2018, saya selalu pasakkan dalam hati bahawa kerja ini pun mempunyai nilai kerana mengharapkan tempias pahala jemaah yang mempunyai tenaga beribadat melalui makanan yang dimasak.
“Antara pengalaman yang tak dapat dilupakan ialah saya menyediakan sarapan ketika imam bangunan World Trade Centre di Amerika Syarikat ke maktab ibu pejabat TH pada musim haji beberapa tahun lalu.
“Saya juga pernah menyediakan makanan untuk bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah selain bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan lain-lain,” kata anak kelahiran Ipoh itu.
Sementara itu, seorang lagi cef, Yusairi Mustafa, 45, berkata, segala penat lelahnya hilang setiap kali melihat makanan yang dimasak habis dimakan oleh jemaah. – UTUSAN










