Buruh didakwa cuai sehingga tertembak mati anak sepupu

Buruh didakwa cuai sehingga tertembak mati anak sepupu

TERTUDUH di iringi oleh anggota polis semasa hadir untuk pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan.UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian anak sepupunya dan memiliki senapang patah bersama empat butir peluru hidup tanpa lesen kira-kira dua minggu lalu.

Tertuduh, Nik Nazli Nik Mohd. Mustapha,39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Mohamad Hasmizi Zudin Che Hasmi, 26, dengan melakukan satu perbuatan cuai yang tidak terjumlah kepada bunuh. 

Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di kompartment 42, Hutan Simpan Kekal Ulu Sat, Kelantan Timur dekat Machang di sini kira-kira pukul 2 pagi hingga 3 pagi pada 12 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Nik Nazli didakwa memiliki selaras senapang patah dan empat butir peluru hidup dengan cara menyalahi undang-undang semasa berada di kaki bukit belakang pejabat tapak semaian Jabatan Perhutanan, Bukit Batu Tapong dekat Machang di sini kira-kira pukul 1 tengah hari pada hari yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Terdahulu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh melakukan kesalahan yang berat.

Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang lelaki tidak sengaja menembak mati anak sepupunya dengan senapang patah buatan sendiri selepas menyangka mangsa haiwan buruan semasa berada kawasan hutan simpan dekat Machang baru-baru ini.

Kejadian berlaku ketika suspek bersama mangsa memburu haiwan di kawasan hutan simpan Ulu Sat, Machang di sini kira-kira pukul 2 pagi pada 12 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, siasatan mendapati, suspek tidak sengaja menembak mangsa kerana menyangka anak sepupunya binatang buruan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.