Buli jalanan: Dua lelaki ditahan, seorang akan dituduh esok - Utusan Malaysia

Buli jalanan: Dua lelaki ditahan, seorang akan dituduh esok

TANGKAP layar rakaman video tular kejadian buli jalanan melibatkan dua buah kereta yang berlaku di Kilometer 20.9 Lebuhraya Seremban-Port Dickson dari Telok Kemang menghala ke Seremban pada 28 April lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Dua orang lelaki telah ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam satu kejadian aksi buli jalanan di Kilometer 20.9 Lebuhraya Seremban-Port Dickson dari Telok Kemang, di sini menghala ke Seremban pada 28 April lalu.

Video kejadian tersebut yang berdurasi 10 saat turut tular di media sosial selepas terkesan melalui aplikasi Facebook oleh pemilik akaun ‘azamaziz’. 

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, ekoran daripada itu, polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah melaksanakan tangkapan terhadap dua lelaki.

Jelasnya ia bersabit siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu dengan gopoh di jalan awam. 

“Kertas siasatan selari juga dibuka di bawah kesalahan trafik iaitu Seksyen 336 Kanun Keseksaan, Seksyen 26, 42, 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan juga Kaedah 50 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Jelas Aidi Sham, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan tuduh ke atas salah seorang suspek iaitu seorang lelaki berusia 23 tahun telah diperoleh.

“Suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Port Dickson esok pada pukul 8.30 pagi di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu dengan gopoh di jalan awam dan Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tidak memiliki lesen memandu yang sah,” katanya. 

 Aidi Sham berkata, pihak polis ingin menasihatkan orang awam agar tidak mencetuskan kegusaran awam dengan menularkan video tersebut lagi serta meninggalkan komen-komen yang boleh menggugat ketenteraman awam. 

“Perbuatan penyebaran yang tidak bertanggungjawab sedemikian adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pihak polis memohon kepada pemilik akaun Facebook, pemandu dan penumpang kedua-dua buah kenderaan yang terlibat dengan kejadian tersebut termasuk saksi yang melihat kejadian supaya hadir ke Balai Polis Trafik Port Dickson bagi membantu siasatan. –UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya