KUALA LUMPUR : Memupuk kefahaman di peringkat akar umbi daripada pelbagai parti merupakan cabaran terbesar yang perlu dihadapi Geng Perpaduan dalam memupuk semangat kebersamaan antara mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda PKR, Adam Adli berkata, ia bukan perkara mudah untuk dilakukan, namun pemimpin terlibat harus menerima cabaran tersebut dengan baik.
“Sekali gus strategi perlu difikirkan untuk ‘memikat’ hati akar umbi khususnya anak muda menerima dimensi politik yang tidak pernah berlaku dalam negara khususnya membabitkan kerjasama dua parti politik yang berseteru selama ini iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
“Sebenarnya kita belum ada nama secara rasmi pun, geng perpaduan itu hanya nama manja sahaja, kita menyambut baik usaha rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan yang bersedia meletakkan perbezaan di tepi dan melupakan pertelingkahan lama bagi arah tuju politik baharu. Ini bukan masa untuk rebut kuasa atau siapa lebih dominan, kita sama sahaja dengan tujuan untuk perkukuhkan kedudukan kerajaan hari ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mesyuarat pertama Geng Perpaduan diadakan di Subang baru-baru ini dengan dipengerusikan oleh Adam sendiri dan disertai hampir 200 orang daripada pelbagai parti.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh turut memaklumkan penubuhan Geng Perpaduan ini adalah bagi memperkukuh kerjasama dan mengatur gerak kerja dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri. – UTUSAN










