PENDANG: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang melecur badan akibat disambar api ketika bermain bunga api dan mercun hampir sebulan lalu di Kampung Senara, Kubur Panjang, di sini meninggal dunia, Jumaat lalu.
Nur Zatil Hidayah Mohd. Tarmizi meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kira-kira pukul 7 malam selepas 26 hari menerima rawatan di situ.
Ibunya, Siti Aisyah Hasan, 33, berkata, anak perempuan tunggalnya itu menghembuskan nafas terakhir apabila kesihatannya kembali merosot selepas mulai sedar dan boleh makan seperti biasa dua hari sebelum itu.
“Petang Jumaat lalu semasa berada di wad biasa dia mula tidak sedarkan diri dan diberi rawatan susulan komplikasi kesihatannya yang semakin teruk.
“Sekitar pukul 7 malam, kami dimaklumkan Nur Zatil Hidayah meninggal dunia dipercayai akibat serangan kuman terhadap organ dalamannya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kata Siti Aisyah, walaupun sedih dengan kehilangan anak perempuannya itu, mereka sekeluarga tetap menerima kejadian tersebut sebagai ketentuan takdir yang tidak dapat dielakkan.
“Saya hilang kata-kata kerana dia satu-satunya anak perempuan kami. Kini tiada lagi keletah manjanya dan apa yang diharap biarlah arwah tenang dan tidak lagi menanggung kesakitan berpanjangan,” katanya.
Jenazah Nur Zatil Hidayah dikebumikan Sabtu lalu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Senara sebaik sahaja selesai proses bedah siasat di HSB.
Pada 14 April lalu, akhbar ini melaporkan Nur Zatil Hidayah melecur kira-kira 46 peratus pada anggota badannya dipercayai akibat disambar api ketika bermain bunga api dan mercun bersama dua abangnya berusia tujuh dan 10 tahun di hadapan rumah mereka.
Ibu bapa kanak-kanak malang itu berada dalam rumah ketika kejadian dan berlari keluar selepas mendengar jeritan mangsa sebelum mendapati dua anak lelaki mereka sedang memadam api yang membakar tubuh mangsa.
Bapanya, Mohd. Tarmizi Man, 36, yang bekerja kampung kemudian mengambil sebaldi air lalu menjirus pada badan anaknya itu sebelum bergegas membawa mangsa ke Hospital Pendang.
Bagaimanapun, ekoran kecederaan parah, mangsa dibawa ke HSB dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) sebelum ditempatkan di wad biasa dua hari sebelum meninggal dunia. – UTUSAN










