PETALING JAYA: Kemahiran teknikal masih kurang dikuasai golongan muda terutama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berminat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd.Effendy Abdul Ghani berkata, implikasi dari situ tidak akan menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja berkemahiran di negara ini.
Menurut beliau, kesan tersebut membuatkan industri negara terus mengambil pekerja asing memenuhi jawatan yang memerlukan kemahiran tinggi dan juga pakar.
“Tiada kemahiran teknikal juga seperti menutup peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan perkara ini akan menjurus kepada peningkatan kadar pengangguran negara dalam kalangan rakyat,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, kurangnya kesedaran untuk mempelajari kemahiran membuat mereka tidak minat untuk menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya selepas tamat tingkatan lima.
“Kerajaan menyediakan pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk mencapai objektif negara melahirkan banyak rakyat berkemahiran.
“Oleh itu, perlu ada usaha untuk mengetengahkan TVET kepada mereka, kerana sijil yang diperoleh dan kemahiran yang dipelajari akan membolehkan mereka bersaing di alam pekerjaan,” kata beliau.
Oleh itu, kata Mohd. Effendy, golongan belia tidak boleh menjadi alasan untuk tidak belajar kemahiran dengan alasan tidak ada modal atau tidak diberi peluang.- UTUSAN










