Ban Pecah dulu sawah kini laut

Ban Pecah dulu sawah kini laut

PENAHAN ombak dibina di Pantai Ban Pecah, Parit Buntar, Perak bagi menghalang hakisan air laut yang semakin menghampiri sawah padi. – UTUSAN /WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Kawasan laut di Pantai Ban Pecah di sini dahulunya kawasan sawah padi sebelum ditenggelami air laut sekitar 1960-an, dipercayai kesan pemanasan global dan cuaca ekstrem yang melanda dunia.

Walaupun terdapat cerita masyarakat di sini mengatakan kejadian sawah padi di situ tenggelam akibat sumpahan anak yatim yang dianiaya kerana perebutan tanah, namun ramai juga yang menyifatkan apa yang berlaku itu adalah kesan perubahan cuaca dunia.

Utusan Malaysia difahamkan, ratusan hektar sawah padi di situ tenggelam dalam kejadian bencana alam menyebabkan ratusan pemilik tanah kerugian.

Malah, kunci air yang biasanya terdapat di kawasan sawah didakwa masih wujud di tengah-tengah laut menghadap Pantai Pecah, namun ia hanya kelihatan ketika air surut.

Sebelum ini Nature Communications dalam kajiannya menyebut beberapa bandar di negara ini bakal hilang daripada peta kerana ditenggelami laut disebabkan pemanasan global dan cuaca ekstrem yang menyebabkan kenaikan paras laut, menjelang 2050 iaitu kurang 30 tahun daripada sekarang.

Kajian berdasarkan Data Climate Central itu, beberapa bandar dijangka menjadi pulau menjelang 2050 iaitu Parit Buntar sehingga Taiping dan Ban Pecah mungkin antara kawasan awal yang merasai kesan daripada perubahan cuaca ekstrem itu.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd. Syahid Mohd Fikri, 34, berkata, berdasarkan cerita orang lama di situ, laut Pantai Ban Pecah dahulunya adalah kawasan sawah padi.

Katanya, namun kenaikan air laut di kawasan sawah padi itu kerap dikaitkan dengan kisah sumpahan anak yatim yang dianiaya kerana tanah pusaka hingga mengundang bencana alam.

“Saya tidak pasti sama ada kisah sumpahan itu benar-benar terjadi atau telah ditokok tambah bagi menyedapkan jalan cerita sebagai satu daya tarikan untuk ke kawasan ini.

“Tetapi apa yang pasti, bencana alam telah pun berlaku hingga menyebabkan tanah sawah berkeluasan mungkin beratus hektar musnah ditenggelami oleh air laut,” katanya.

Katanya, laporan akhbar ini yang menyatakan Bandar Parit Buntar antara yang tersenarai bandar yang dijangka bakal tenggelam mungkin sudah dirasai lebih awal apabila kawasan sawah ditenggelami laut.

“Jika difikirkan apa yang dilaporkan itu, tidak mustahil bencana alam yang pernah menimpa Ban Pecah dahulu merupakan satu proses awal kepada tanda bakal berlakunya satu bencana alam yang lebih besar pada masa akan datang.

“Dengan suhu cuaca yang ekstrem melanda dunia pada ketika ini tidak mustahil berlakunya pencairan glasier, menyebabkan berlakunya peningkatan air laut setiap tahun dan mungkin apa yang dijangkakan itu bakal berlaku di kawasan bandar-bandar Perak utara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN