Ayam boleh cecah RM26 seekor

Ayam boleh cecah RM26 seekor

Kenaikan harga ayam pasti akan meresahkan pengguna. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga ayam dijangka naik 30 peratus atau RM26 seekor pada Julai ini dipengaruhi kelewatan pembayaran subsidi kepada penternak.

Kenaikan juga didakwa bersangkutan keputusan kerajaan untuk mengapungkan harga bahan mentah tersebut pada Julai.

Sumber industri yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, berdasarkan libat urus dengan penternak ayam bersepadu, penternak kontrak serta pemborong, masing-masing resah kerana ketiadaan subsidi akan memaksa setiap sub-rangkaian industri ayam untuk menaikkan harga kerana tidak mampu menanggung kos operasi.

Kata sumber, semua penternak sedang `sakit’ kerana kerajaan mengenakan kawalan harga tetapi tiada langkah intervensi bagi membantu industri mendepani cabaran kenaikan harga dedak, anak ayam serta kos operasi termasuk kadar elektrik dan upah buruh yang tinggi.

Justeru katanya, apabila sistem kawalan harga dimansuhkan pada hujung Jun, kenaikan harga ayam akan berlaku secara mendadak sekitar 30 peratus iaitu mencecah RM26 seekor di pasaran.

“Yang saya paling takut, kerajaan umumkan harga ayam akan diapungkan selepas 30 Jun, sudah keluar kenyataan. Itulah keputusan Kabinet, keputusan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) semua sekali.

“Tapi subsidi tak bagi. Jadi macam mana penternak mahu rancang pengeluaran maksimum. Sekarang ini bekalan masih tak cukup. Jadi apabila harga ayam diapungkan selepas Julai, maka secara automatik harga akan mencanak naik, tengoklah nanti,” kata sumber di sini, semalam.

Pada 21 Februari lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, harga ayam dan telur dijangka diapungkan selepas Jun ini dalam usaha kerajaan memastikan masalah kekurangan bekalan makanan itu dapat diatasi.

Mengulas perkara itu, sumber industri berkata, apabila harga ayam diapungkan, pengeluaran yang masih tersekat akibat ketiadaan subsidi akan memaksa pasaran berebut-rebut mendapatkan bekalan ayam.

Sedangkan, katanya pengeluaran semasa sangat terhad apabila kebanyakan integrator serta penternak cuma mampu mengeluarkan 40 peratus ayam masing-masing berbanding pengeluaran yang optimum.

“Kerugian (kepada penternak) disebabkan kawalan harga memang nyata. Saya libat urus dengan ahli industri, ada yang berkata mereka cuma mampu memasukkan 80,000 ekor anak ayam day old chick (DOC) berbanding sebelum ini.

“Sebelum ini, ladang broiler berkapasiti sederhana mampu mengeluarkan 200,000 DOC satu musim pusingan, tapi sekarang susut 60 peratus kepada 80,000 ekor DOC saja. Harga DOC pula masih mahal, sekarang ini seekor di antara RM3.20 sehingga RM3.40,” katanya.

Dalam pada itu, sumber mendesak kerajaan berlaku jujur dan menjelaskan kepada pemain industri ayam, apakah sebenarnya masalah dalam penyaluran subsidi.

Kata sumber, pihaknya difahamkan bagi tahun ini kerajaan sebenarnya sudah memperuntukkan subsidi berjumlah RM1.2 bilion kepada sektor ayam dan telur, namun belum dinikmati pengusaha ayam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN