BACHOK: Hasrat murni seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu, untuk mengikat tali pertunangan dengan wanita pilihannya tidak kesampaian apabila meninggal dunia pagi tadi selepas dipatuk ular tedung senduk kelmarin.
Mangsa, Lans Koperal Mohd. Idris Abdul Samad, 34, menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 9.30 pagi selepas bertarung nyawa selama dua hari semasa menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian.
Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, mangsa sedang melakukan kerja-kerja pemindahan reptilia berbisa itu dari dalam guni ke sebuah sangkar khas selepas ular tersebut berjaya ditangkap di sebuah kampung di Kota Bharu pada sebelah malamnya.
Ibu mangsa, Noriah Awang, 68, berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu dijangka mengikat tali pertunangan dengan pilihan hatinya pada Aidiladha ini.
“Saya hanya bersetuju dengan pilihannya itu kerana dia (arwah) sudah mengenali bakal tunangnya yang berniaga di Johor.
“Namun…hasrat itu tidak kesampaian apabila dia terlebih dahulu dijemput untuk bertemu dengan Ilahi. Apa pun kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemasin di sini hari ini.
Noriah memberitahu, kejadian menimpa arwah diketahui sebaik dimaklumkan seorang abangnya, Mohd. Bashir, 36, yang merupakan anggota APM.
Katanya, ketika menerima rawatan di Hospital USM arwah berada dalam keadaan stabil dan sudah boleh bercakap.
“Namun pada pukul 5 pagi tadi pihak hospital memaklumkan kesihatan arwah semakin merosot dan saya sempat ke sana sebelum dia meninggal dunia.
“Arwah sudah 15 tahun berkhidmat dengan APM dan pernah membantu penduduk menangkap ular di sekitar kawasan kampung. Sebelum ini jari tengah kanan arwah juga pernah dipotong selepas dipatuk ular pada 2017,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah APM Kelantan, Mohd. Adzhar Mujab berkata, mangsa dipatuk ular tedung senduk di bahagian celah ibu jari kanan semasa sedang bertugas di APM di Tunjung, Kota Bharu.
Katanya, semasa mengendalikan replitia itu mangsa menggunakan sarung tangan sebelum dipatuk secara tiba-tiba oleh ular tersebut.
“Namun pagi tadi, keadaan dilaporkan semakin membimbangkan sebelum disahkan meninggal dunia. Sebelum ini, arwah pernah dipatuk ular jenis sama sejak beberapa tahun lalu dan mendapat rawatan di hospital.
“Arwah seorang pekerja yang berdedikasi, komited dan terlatih untuk menangkap haiwan berbisa itu,” ujarnya.-UTUSAN










