PETALING JAYA: Anak kepada seorang bekas Perdana Menteri telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung satu lagi siasatan dijalankan suruhanjaya itu.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, beliau hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pukul 10 pagi semalam.
Kata sumber itu, satu siasatan lain telah dilakukan SPRM di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 membabitkannya.
LAIN
“Beliau dipanggil SPRM hari ini bagi siasatan lain,” kata sumber itu ringkas.
Dalam perkembangan lain, kata sumber itu, SPRM masih belum lagi memanggil semula tokoh perniagaan bergelar Tan Sri dan bekas menteri berhubung penyelewengan dana negara bernilai lebih RM2.3 billion.
Sumber berkata, SPRM masih dalam proses menganalisa dokumen berkaitan pengambilalihan dagangan saham dan penjualan saham melibatkan sebuah syarikat tersenarai dipercayai pernah diterajui tokoh perniagaan itu.
“SPRM juga masih menjejaki aset-aset kedua-dua tokoh itu miliki sekiranya adalah hasil daripada ketirisan dana kerajaan,” ujarnya.
Pada 16 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan ‘taikun perniagaan’ terkemuka di negara ini akan dipanggil SPRM dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung pendedahan Pandora Papers mengenai dakwaan memiliki akaun, syarikat atau firma pemegang amanah di luar pesisir di luar negara.
Akhbar ini melaporkan keterangan kesemua mereka akan diambil selepas seorang bekas menteri telah diambil keterangannya oleh SPRM berhubung pendedahan mengenai kekayaan yang disembunyikan di luar negara hasil daripada syarikat perkhidmatan luar pesisir milik beliau dan keluarganya.
Keterangan bekas pemimpin itu disyaki diambil bagi menjelaskan aliran dan jejak kewangan membabitkan 12 syarikat miliknya dan keluarga yang disyaki memiliki kekayaan luar biasa.
Pada 19 Mei lalu, SPRM juga dikatakan telah membuka beberapa kertas siasatan membabitkan seorang bekas menteri kanan dan ahli perniagaan bergelar Tan Sri untuk siasatan berkaitan penyelewengan dana negara yang bernilai lebih RM2.3 billion.
Siasatan dijalankan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta AMLATFPUAA 2001.
Siasatan itu adalah kesinambungan dan tambahan daripada pendedahan dokumen-dokumen sulit yang dibuat oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi-transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.
Tumpuan siasatan adalah berhubung dengan pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikatakan didalangi oleh bekas menteri kanan berkenaan. – UTUSAN










