Air: Senjata makan tuan buat Pas

Air: Senjata makan tuan buat Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU air sering dijadikan sebagai ‘perisai’ oleh Pas dalam menarik sokongan rakyat kepada mereka untuk terus kekal mentadbir Kelantan setiap kali pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRN) berlaku.

Situasi itu mula berubah apabila isu air seolah-olah sudah menjadi seperti ‘senjata makan tuan’ buat Pas Kelantan.

Alasan peruntukan ‘disekat’ oleh UMNO sejak 1990 lalu sudah tidak relevan untuk disajikan kepada rakyat pada hari ini.

Hal ini kerana rakyat mulai bijak dalam membuat penilaian dan tidak mudah menelan ‘bulat-bulat’ patah kata yang dilontarkan oleh pucuk pimpinan negeri.

Selain kekangan kewangan, urus tadbir agensi pengendali perkhidmatan iaitu Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) turut dikaitkan dengan masalah bekalan air di negeri ini.

Menariknya, perkara itu diakui sendiri oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semasa menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) sebelum ini.

Di sebalik semua itu, kerajaan negeri dilihat lebih selesa ‘me­nyandarkan’ kesalahan itu kepada UMNO yang telah menyekat peruntukan sebaik sahaja Pas mengambil alih tampuk pemerintahan Kelantan bermula 1990 lalu.

Justeru, Pilihan Raya Ne­geri (PRN) yang bakal berlangsung nanti sudah tidak relevan buat Pas untuk‘mengulang ta­yang’ dengan mendakwa mereka ‘mangsa’ di sebalik gagal menyelesaikan masalah air di negeri ini sebagai bahan kempen politik.

Hal ini kerana rakyat sudah mula ‘muak’ dengan pelbagai alasan yang diberikan oleh kerajaan negeri tanpa berusaha mencari jalan penyelesaian ‘tuntas’ untuk mengatasi masalah bekalan air.

Semuanya terserah di tangan 1.4 juta rakyat negeri yang akan membuat keputusan pada PRN nanti sama ada mahu berubah atau ‘selesa’ berada ditakuk lama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN