'Abang duduk atas kerusi kecil, adik tekan pedal minyak'

‘Abang duduk atas kerusi kecil, adik tekan pedal minyak’

KEADAAN kereta jenis Toyota Vios dipandu kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang terbabas di Jalan Bukit Tangga berhampiran Titi Chanwang di Ulu Melaka, Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang memandu kereta jenis Toyota Vios sehingga terlibat kemalangan dipercayai meletakkan kerusi kecil di atas kerusi pemandu ketika mengendalikan kenderaan itu di Jalan Bukit Tangga, di sini semalam.

Malah, adik lelakinya yang berusia tiga tahun pula dikatakan menekan pedal minyak kereta tersebut semasa mereka keluar dari rumah di Kampung Padang Mengkuang yang berjarak kira-kira 2.5 kilometer (KM) dari tempat kemalangan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, polis sudah selesai merakam keterangan kedua-dua ibu bapa kanak-kanak terbabit tengah hari ini.

“Bagaimanapun, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) pula akan merakam keterangan bapa yang berusia 28 tahun dan ibunya yang berumur 22 tahun. Bapa kanak-kanak itu merupakan peniaga kedai runcit, manakala isterinya tidak bekerja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan seorang budak lelaki mengalami kecederaan kecil di bahagian dagunya setelah kereta dipandunya semasa hendak ke kedai terbabas lalu melanggar lampu jalan di Jalan Bukit Tangga berhampiran Titi Chanwang.

Kejadian kira-kira pukul 11 malam itu disedari orang awam yang membantu mereka setelah kenderaan itu terbabas.

Menerusi video yang tular, salah seorang kanak-kanak terbabit memberitahu mahu pergi ke kedai dan ibu bapa mereka berada di rumah ketika kejadian.

Dalam video berasingan yang dirakam seorang pengguna yang mengekori kenderaan tersebut mendapati, kereta jenis Toyota Vios berwarna putih berkenaan didapati dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum terbabas di tempat kejadian.

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia mendapatkan maklum balas ibu bapa kedua-dua kanak-kanak terbabit belum berhasil setakat ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya