IPOH: Seluas kira-kira 400,000 hektar daripada 1.1 juta hektar keluasan tanaman getah di seluruh negara tidak ditoreh yang berpunca daripada harga komoditi itu yang terlalu rendah.
Keluasan itu bersamaan dengan kira-kira 988,421 buah padang bola sepak.
Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan berkata, hasil bagi setiap hektar tanaman getah selama setahun adalah kira-kira 1,500 kilogram dan jika 400,000 hektar tidak ditoreh, negara kehilangan hasil yang sangat banyak.
TIDAK BERBALOI
Menurutnya, harga getah sangat rendah iaitu RM2.70 sekilogram menyebabkan pemilik kebun getah tidak berminat mengusahakannya kerana tidak anggap tidak berbaloi dengan kerja keras yang perlu diberikan.
“Untuk itu, kerajaan perlu mencari jalan supaya harga getah dapat dinaikkan. Kalau harganya boleh mencecah antara RM4 atau RM5 sekilogram, saya rasa ramai akan menoreh semula,” katanya di sini semalam.
Semalam, Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan, Pertubuhan Pekebun Kecil Pahang, Anuar Mustakim meminta kerajaan menaikkan harga getah melebihi RM3 sekilogram bagi membantu penoreh hidup dengan lebih selesa.
Katanya, harga RM2.70 yang dilaksanakan ketika ini selaras dengan pengumuman Belanjawan 2023 pada 24 April lalu masih tidak memadai memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Katanya, dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sejak dari penghujung tahun lalu apabila pekebun berdepan dengan Monsun Timur Laut dan kini cuaca panas sehingga mengurangkan hasil susu, purata mereka keluar menoreh antara 10 hingga 12 hari sebulan dan mendapat antara 200 hingga 300 kilogram sahaja.
“Hasil jualan memang tidak cukup untuk perbelanjaan harian, lebih-lebih lagi penoreh yang bekerja di kebun getah milik orang lain,” katanya.
Sementara itu, Adzmi berkata, pengumuman kerajaan berhubung peruntukan jalan raya getah atau rubber road merupakan cadangan yang bagus untuk membantu pekebun kecil.
Katanya, sekiranya perkara itu dapat menambahkan permintaan getah dan menjadikan harga bahan komoditi itu meningkat, pihaknya amat mengalu-alukan.
Selain itu, katanya, PKPKM mencadangkan supaya kerajaan mengenakan cukai terhadap getah import supaya dapat menstabilkan harga getah tempatan.
“Kita tak tahu bagaimana caranya, kita hanya mencadangkan, tapi, yang membuat dasar ialah Kementerian Kewangan, mereka ada pakar-pakar mengenainya dan perlu cari jalan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mencadangkan syarikat pengeluar sarung tangan getah negara menyumbang sebahagian keuntungan mereka kepada penoreh getah yang berdepan masalah kos sara hidup berikutan harga getah yang rendah seperti yang dilakukan Bernas yang menyumbang sebahagian keuntungan kepada pesawah. – UTUSAN










