PETALING JAYA: Sebanyak 24 kawasan merekodkan Indeks Pencemar Udara (IPU) sederhana setakat pukul 9 pagi ini.
Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), antara stesen merekodkan bacaan IPU sederhana adalah Kuala Selangor, Petaling Jaya, Banting di Selangor; Batu Muda, Kuala Lumpur dan Seremban, Negeri Sembilan.
Selain itu, sebanyak 44 stesen merekodkan bacaan baik dan antaranya Nilai dan Port Dickson di Negeri Sembilan; Tanjung Malim, Perak dan Alor Gajah, Melaka.
Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi memaklumkan dua kawasan iaitu Padang Terap, Kedah dan Jempol, Negeri Sembilan merekodkan status cuaca panas pada tahap satu iaitu berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian 35 darjah selsius hingga 37 darjah selsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Status itu dikemaskini setakat pukul 4.20 petang semalam.
Kementerian Pendidikan sebelum ini membenarkan pentadbir untuk menutup sekolah sekiranya cuaca panas berada pada tahap amaran dua dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.
Menerusi surat siaran pekeliling yang ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Norisah Suhaili, keputusan itu dibuat memandangkan situasi cuaca berkenaan yang dilaporkan berlaku di beberapa lokasi seluruh negara ketika ini.
Jelas surat berkenaan, segala aktiviti luar melibatkan murid, pelajar dan guru mesti dihentikan antaranya merentas desa, perkhemahan, kawad, sukan dan permainan di luar bangunan serta pertanian. –UTUSAN










