PETALING JAYA: Pengambilan kira-kira 19,000 guru menerusi pengambilan khas dianggap masih belum cukup untuk menangani isu kekurangan guru di seluruh negara.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon mempersoalkan sama ada angka itu mencerminkan keperluan sebenar bilangan tenaga guru ketika ini.
“Adakah pengambilan khas ini benar-benar memenuhi kekurangan guru dan keperluan sebenar pihak sekolah atau sekadar angka yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau kerana ada kekangan tertentu,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, pengambilan khas juga mempunyai risiko tertentu antaranya dari segi pemilihan guru dan memenuhi bidang yang diperlukan di sekolah.
“Kita khuatir akan ada pengambilan guru yang tidak kompeten dan tidak ikut kriteria sepatutnya. Adakah pengambilan kali ini ramai guru bahasa Inggeris, bahasa Melayu, Sejarah, Pendidikan Islam dan sebagainya?” soalnya.
Semalam, Kementerian Pendidikan dilaporkan tidak bercadang mewujudkan semula jawatan guru sandaran bagi menampung isu kekurangan guru di seluruh negara sebaliknya menawarkan pengambilan secara khas yang mula dibuka bulan lalu.
Ini meskipun NUTP memohon pihak kerajaan supaya menawarkan jawatan guru sandaran bagi menampung isu kekurangan guru termasuk di Sabah dan Sarawak.
Fouzi mengakui, jika isu kekurangan guru itu tidak ditangani dengan segera, guru akan berdepan dengan masalah yang sama seperti doktor.
“Lihat hartal doktor, apabila lantikan doktor berkurangan, 15 tahun akan datang pun kita akan terus kekurangan doktor, begitu juga bidang lain seperti guru,” katanya.
Permohonan pengambilan khas guru dibuka pada 7 April dan ditutup pada 21 April lalu bagi menangani isu kekurangan guru melibatkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi.
Fouzi berkata, 260,000 permohonan yang diterima untuk pengambilan khas menunjukkan permintaan yang tinggi dalam sektor perguruan. – UTUSAN










