MADINAH: Sepasang suami isteri daripada kumpulan pertama jemaah yang tiba di sini semalam bersyukur dapat menjejakkan kaki ke tanah suci selepas menunggu giliran selama 15 tahun.
Pesara kerajaan, Abdul Rahman Ibrahim, 62, berkata, dia dan isteri, Jamilah Turiman, 56, menunggu sejak 2008 untuk bersama-sama menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Pasangan dari Pokok Sena, Kedah itu berkata, dia telah membuat simpanan begitu lama bagi menunaikan haji sekiranya mendapat tawaran.
“Sebaik tahu dipilih sebagai jemaah haji kira-kira dua bulan lalu, saya menjadi sebak dan menangis kerana hajat kami akhirnya ditunaikan. Kami tahu selepas dihubungi Tabung Haji (TH).
“Saya berjanji akan menjaga kesihatan dan mengikut nasihat doktor termasuk mengambil ubat yang dibekalkan bagi mengawal sakit jantung dan darah tinggi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sarif Mohd. Danial Sarif Rosli, 22, dan adiknya Sarif Mohd. Nor Adam, 20, lepasan Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM) antara yang tiba awal, semalam.
Sarif Mohd. Danial dari Jitra, Kedah melahirkan rasa syukur kerana terpilih menjadi tetamu Allah dalam usia muda.
Pelajar jurusan logistik itu berkata, dia turut mengikuti kelas pengajian secara dalam talian dan membuat tugasan sepanjang berada di tanah suci.
“Saya berharap agar urusan di sini dipermudahkan walaupun berdepan kekangan untuk mengikuti kelas pengajian,” katanya. – UTUSAN










