PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memastikan komitmen pelaburan berjumlah ratusan bilion ringgit yang dinyatakan oleh syarikat-syarikat China ke Malaysia direalisasikan, bukan janji yang dibuat sewaktu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) semata-mata.
Ahli Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Tamrin Ghaffar berkata, secara kelaziman, satu-satu MoU bukanlah akujanji atau akad yang menjamin pelaburan tertentu, sebaliknya cuma satu majlis menyatakan komitmen peringkat awal semata-mata.
Justeru, tegas beliau, kenyataan Anwar bahawa sejumlah RM170 bilion ringgit dalam bentuk komitmen pelaburan ke Malaysia oleh pelabur China, perlu dibuktikan dengan menyenaraikan dan mendedahkan kepada rakyat butiran projek yang mahu dilaburkan.
DELEGASI
Beliau berkata, sewaktu era Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri kali pertama, ada seorang ahli politik yang kerap menyertai delegasi lawatan luar negara dan sentiasa menandatangani MoU namun tidak ada yang berhasil.
“Ada seorang Tan Sri, dia ini ke mana saja Tun Mahathir pergi keluar negara pada masa itu dan ke mana saja Tun Daim Zainuddin (Menteri Kewangan) pergi, dia akan ikut. Kemudian, dia tandatangan memorandum persefahaman (MOU) sehingga dia digelar Mr. MoU tapi hasilnya tiada.
“Jadi, MOU ini bukanlah satu perjanjian, cuma sekadar satu memorandum saja. Jadi, Anwar perlu buktikan dengan menyenaraikan projek-projek yang China mahu melabur ke dalam Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam masa sama, Tamrin mengalu-alukan pelaburan yang dijanjikan itu, jika ia benar-benar dicapai, namun menggesa kerajaan bersikap telus dalam soal kesan pelaburan asing tersebut terhadap kedaulatan negara.
Sementara itu, penganalisis politik, Azmi Hassan yang dihubungi berkata, MoU tersebut hanya bersifat perjanjian persefahaman dan bukan satu komitmen yang tetap atau dimuktamadkan seratus-peratus.
Namun katanya, potensi untuk MoU itu direalisasikan dan pelaburan yang dinyatakan itu akan benar-benar dibawa masuk agak tinggi memandangkan China sedang mencari destinasi pelaburan baharu.
“Hakikatnya, selepas MoU itu dimeterai, maka secara halusnya akan dibincangkan dan kalau dipersetujui kedua-dua pihak (Malaysia dan China), maka kemungkinan besar keseluruhan RM170 bilion itu akan dilaburkan oleh pelabur China.
“Saya anggap perkara ini tidak semestinya seratus-peratus RM170 bilion, tapi hampir akan mencapai angka tersebut. Ini kerana, pelabur China waktu ini sedang mencari destinasi pelaburan baharu di luar China,” katanya. – UTUSAN










