KOTA KINABALU: UMNO Sabah memecat tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang menyokong pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor semasa berlaku kemelut politik negeri awal Januari lalu.
Mereka ialah Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit).
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ketiga-tiga ADUN tersebut dipecat oleh kepemimpinan atasan parti.
Beliau berkata, setakat ini hanya seorang ADUN yang digantung selama enam tahun iaitu Datuk Shahelmey Yahya, selebihnya telah dipecat daripada parti.
Walau bagaimanapun, Datuk Andy Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu) dan Datuk Hamild @ Hamid Awang (Balung) tidak dikenakan sebarang tindakan oleh pimpinan parti.
Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan bersama tiga ADUN yang dipecat antara pemimpin UMNO yang paling awal menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Sokongan terhadap Hajiji itu bertentangan dengan keputusan UMNO Sabah yang bertindak menarik sokongan daripada Hajiji dan kerajaan Sabah 6 Januari lalu.
Tindakan UMNO menarik sokongan menyebabkan berlaku rombakan Kabinet pada 11 Januari dan memperlihatkan beberapa pemimpin UMNO digugurkan termasuk Bung Moktar.
Kemudian, pada 21 Februari, empat ADUN UMNO mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang diterajui oleh Hajiji.
Empat ADUN itu ialah James Ratib, Mohd. Arsad Bistari, Jasnih Daya dan Hamild @ Hamid Awang.
Pada Sabtu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa sokongan UMNO/Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan negeri Sabah akan terus kekal sehingga pilihan raya akan datang. – UTUSAN










