UMNO Johor kendali pemilihan semula UMNO Bahagian Johor Bahru - Utusan Malaysia

UMNO Johor kendali pemilihan semula UMNO Bahagian Johor Bahru

MOHAMED KHALED NORDIN (depan kanan) mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Proses pemilihan semula UMNO Bahagian Johor Bahru yang ditangguh dan digantung pada 18 Mac lalu akan diadakan secepat mungkin melibatkan kesemua jawatan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemilihan tersebut yang dijangka selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri akan dikelolakan UMNO negeri dan bukannya Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU).

“Kita akan lihat kesesuaian masa untuk memastikan semua perwakilan dapat hadir dan agar ia dapat dibuat dengan baik. Sebenarnya kita mahu lakukan segera, tetapi perlu ambil kira ketika ini bulan Ramadan.

“Perkara ini perlu dirancang betul-betul kerana ia tidak seperti di beberapa bahagian lain, sebaliknya Bahagian Johor Bahru melibatkan kesemua jawatan. Kita mahu semua boleh datang agar tidak timbul isu ‘rumah siap tetapi pahat berbunyi’,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan; Setiausaha UMNO negeri, Datuk Abdul Halim Suleiman dan Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Md. Jais Sarday.

Pada 18 Mac lalu, Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Johor Bahru, Azmi Samin mengumumkan pemilihan bahagian itu yang berlangsung di Hotel New York, ditangguhkan dan digantung selepas berlaku pertambahan bilangan kertas undi berbanding jumlah perwakilan yang hadir.

Jawatan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu menyaksikan pertandingan dua penjuru antara bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian tersebut, Datuk Yahya Jaafar dan bekas Ketua Pemuda bahagian Mohd. Hairi Mad Shah.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata, UMNO Johor juga bersetuju untuk menubuhkan sekretariat antara parti dan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam usaha mengukuhkan kedudukan kedua-dua pihak demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

Sekretariat berkenaan akan dianggotai Setiausaha UMNO negeri, Datuk Abdul Halim Suleiman; Bendahari UMNO negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Md. Jais Sarday, manakala kerajaan negeri diwakili tiga Exco, iaitu Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor,  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah.

“Tujuan sekretariat ini adalah agar mereka duduk berbincang dan melakukan pelbagai perkara yang akan mengukuhkan parti dan kerajaan negeri serta membawa kebaikan, kesejahteraan dan kemajuan kepada rakyat,” katanya sambil menegaskan barisan kepimpinan baharu peringkat negeri komited dalam mengembalikan sokongan dan kepercayaan orang Melayu terhadap parti berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya