UiTM Machang rintis tanam cendawan guna iMistroom 2000

UiTM Machang rintis tanam cendawan guna iMistroom 2000

WAN  Muhammad Syukri Wan Norjik menunjukkan bongkah cendawan yang diusahakan menggunakan sistem iMistroom 2000 (rumah cendawan pintar modular) di UiTM Kampus Machang, Kelantan hari ini. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan menjadi perintis menggunakan sistem iMistroom 2000 (rumah cendawan pintar modular) untuk tanaman cendawan tiram putih di negara ini.

Ahli kumpulan penyelidik cendawan Internet of Thing (IoT), Dr. Syerina Azlin Md. Nasir berkata, sistem iMistroom dan IoT yang dibangunkan itu mampu meningkatkan pengeluaran tanaman cendawan sehingga dua kali ganda berbanding kaedah biasa.

Menurutnya, penggunaan sistem itu secara tidak langsung membantu mahasiswa dan komuniti setempat menjana pendapatan menerusi perusahaan tersebut.

“Rumah cendawan yang menggabungkan sistem IoT ini dapat memberi kawalan alam sekitar yang lebih inklusif serta proses penyelenggaraan yang lebih mudah.

“Menerusi inkubator ini, sebanyak 2,000 bongkah cendawan tiram putih boleh ditempatkan dengan hasil tuaian maksimum lima kilogram (kg) sehari bagi 1,000 bongkah, ” katanya ketika ditemui pemberita di UiTM Kampus Machang, di sini semalam.

Syerina Azlin yang juga Pensyarah Teknologi Maklumat memberitahu, inkubator itu turut membuka peluang kepada mahasiswa dan komuniti mendapat kemahiran serta tunjuk ajar untuk mengusahakan cendawan tiram putih.

Katanya, pihaknya berhasrat untuk melahirkan lebih ramai usahawan cendawan tiram putih memandangkan permintaannya sangat tinggi di pasaran ketika ini.

Sementara itu, pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Pemasaran UiTM Machang yang juga perintis projek berkenaan, Wan Muhammad Syukri Wan Norjik, 25, berkata sistem iMistroom 2000 boleh dipantau dan dikawal dari jarak jauh.

“Sistem ini dilengkapi ‘cooling pad’ bagi menjaga suhu pada kadar yg sesuai dan lampu ultraviolet yang berfungsi untuk menggalakkan pertumbuhan dan pembesaran cendawan.

“Selain itu, sistem yang dipasang ini juga dapat memantau kelembapan antara 85 hingga 95 peratus dan suhu antara 23 hingga 30 darjah celcius sekali gus dapat meningkatkan kualiti hasil cendawan sebagaimana yang disyorkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN