Mukadimah
Hari ini merupakan hari terakhir kumpulan Mogok Doktor Malaysia menunjukkan bantahan terhadap kerajaan dengan tidak hadir bekerja yang digerakkan sejak Isnin lalu. Ia berhubung tuntutan pelantikan ke jawatan tetap Kementerian Kesihatan serta imbuhan lain yang selayaknya diterima.
Meskipun kumpulan itu mendakwa lebih 10,000 doktor perubatan terlibat sehingga mendakwa sistem kesihatan negara lumpuh sepenuhnya, laporan-laporan media pula menggambarkan sebaliknya, malah Kementerian Kesihatan berkata keadaan masih terkawal.
Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN bertemu Ahli Parlimen Bandar Kuching juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Kesihatan, Sains dan Inovasi), DR. KELVIN YII di Dewan Rakyat berbincang perkara ini.
UTUSAN: Apa respons Yang Berhormat mengenai mogok doktor kontrak sejak kelmarin?
KELVIN: Ia sepatutnya dilakukan secara sistematik dan tersusun supaya pesakit dalam rawatan tidak terjejas. Lebih penting ialah tindakan susulan dan penglibatan kementerian.
Saya menggalakkan kementerian untuk melibatkan diri dengan pelbagai kumpulan doktor bagi memastikan suara mereka didengari terutama dalam jawatankuasa peringkat tinggi yang dibentuk oleh Kementerian Kesihatan baru-baru ini.
Isu ini sudah sangat lama dan memerlukan pembaharuan. Saya sendiri akan memainkan peranan atas kapasiti sebagai ahli Parlimen dan juga doktor untuk memastikan pembaharuan dalam sektor kesihatan ini dapat direalisasi.
Bukan sahaja di peringkat Kementerian Kesihatan, tetapi kementerian-kementerian lain, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memastikan mereka tampil dengan pembaharuan yang sesuai.
Apa pun, saya menghormati hak setiap petugas kesihatan dalam menuntut apa yang dirasakan wajar. Semasa pandemik Covid-19, petugas kesihatan bekerja kuat dan adalah wajar mereka dijaga dari aspek fizikal dan mental dengan menerima imbuhan yang selayaknya.
Bagaimana jika doktor mogok dikenakan tindakan?
Kami sedang melakukan pemantauan terhadap isu ini. Saya telah pun berbincang dengan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa supaya pegawai perubatan tidak dikenakan tindakan.
Jika ada, tolong maklumkan pada saya dan saya akan mendesak kerajaan untuk tidak mengambil tindakan ke atas mereka. Hak mereka harus didengari, tetapi ia perlulah munasabah dan tidak mendatangkan mudarat kepada pesakit.
Ada dakwaan pembangkang dalang di sebalik mogok memandangkan Hartal Doktor Kontrak tidak mengetahuinya?
Saya tidak mahu membuat spekulasi. Saya juga ada bertanya sebab saya mahu berhubung dengan pihak di sebalik mogok ini. Sehingga kini, kementerian juga tidak tahu siapa yang berada di sebaliknya.
Kumpulan besar doktor, persatuan perubatan dan Hartal Doktor Kontrak sendiri telah menjauhkan diri dari mereka. Walau apa pun, kita tidak sepatutnya mengendahkan perkara yang dituntut.
Bukankah ini masanya mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kesihatan?
Suruhanjaya Kesihatan ini memang terdapat dalam Kertas Putih Kesihatan yang merupakan salah satu pembaharuan dalam sektor kesihatan negara.
Tetapi, suruhanjaya ini tidak hanya melibatkan Kementerian Kesihatan, tetapi kementerian lain juga. Jadi, saya berharap dalam pembentangannya yang dijangka pada Jun ini ia dapat ditubuhkan.
Ia harus merangkumi bukan sahaja pakar-pakar kesihatan, malah pakar ekonomi bagi menentukan hala tuju jangka masa panjang.
Bagaimana dengan cecair yang dikeluarkan dari Akta Racun, kerana ada dakwaan ia memberi ruang kepada orang ramai menggunakan produk itu tanpa garis panduan jelas?
Ini adalah langkah yang regresif. Ia membuka kelemahan dalam undang-undang kerana pada masa ini tiada garis panduan yang sesuai mengawal selia vape.
Situasi yang ideal, sebelum mengeluarkan cecair nikotin dari akta racun, adalah mempunyai undang-undang untuk mengawal selia vape dan produk tembakau yang lebih merangkumi daripada Akta Makanan 1983. Industri vape berkembang pesat jadi ada kepentingan untuk mengawalnya. – UTUSAN










