Tok Gajah kekal rekod tanpa kalah, tewaskan sang Penyu 2-1  - Utusan Malaysia

Tok Gajah kekal rekod tanpa kalah, tewaskan sang Penyu 2-1 

IVAN Mamut (tengah) meraikan jaringan gol pertama TFC ketika bertemu Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Sri Pahang FC mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Super selepas mengalahkan Terengganu FC (TFC) 2-1 dalam pertemuan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan Sri Pahang berkongsi 22 mata bersama Selangor di tempat ketiga manakala TFC dengan 13 mata terus dirundung malang jatuh ke tempat kelapan.

Aksi rancak disajikan di awal permainan menyaksikan tandukan Ivan Mamut minit ke-12 serta tolakan Kpah Sherman minit ke-21 diselamatkan penjaga gol kedua-dua pasukan.

Peluang terbaik TFC hadir pada minit ke-27 berpunca lambungan Jordan Mintah namun percubaan voli Hakimi Abdullah tepat ke dakapan Izham Tarmizi Roslan.

Kegagalan benteng TFC mengeluarkan bola sepakan percuma Stefano Brundo tidak lama selepas itu membawa padah apabila Sherman mudah membuka tirai jaringan pada minit ke-31.

Kedudukan itu tidak kekal lama apabila Mamut menyudahkan gerakan Liridon Krasniqi dan Adisak Kraisorn untuk gol penyamaan minit ke-39 sehingga tamat separuh masa.

Kedua-dua pasukan bergilir melakukan serangan selepas rehat bermula tandukan Sherman (m-39) disusuli percubaan jauh Habib Haroon (m-51) yang ditumbuk keluar Izham Tarmizi.

TFC kemudian nyaris dikejutkan Sri Pahang mujur bola sepakan John Glassock dikeluarkan Alif Zakaria di atas garisan gol ketika penjaga gol sudah tertewas pada minit ke-58.

Tuan rumah perlu menyalahkan diri sendiri selepas peluang keemasan Mamut minit ke-60 disusuli rembatan Sony Norde dari kawasan berbahaya seminit kemudian gagal menemui sasaran.

Skuad Tok Gajah mengambil kesempatan kegagalan TFC itu untuk kembali di depan hasil percubaan luar kotak penalti oleh Nor Azam Azih untuk menjadikan kedudukan 2-1 minit ke-68.

Hasrat TFC sekurang-kurang mengutip satu mata tidak kesampaian gara-gara percubaan Mamut minit ke-77 dan ke-89 dinafikan penjaga gol lawan sekaligus pulang tangan kosong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya