SHAH ALAM: Suasana di Terminal 17 Shah Alam semakin sibuk apabila ramai yang pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai mula memenuhi pekarangan terminal itu seawal pukul 6 pagi untuk menepati jadual perjalanan bas masing-masing.
Salah seorang penumpang, Siti Zawiyah Ismail Ali, 30, berkata, dia berasa teruja dan bersyukur kerana pada tahun ini dapat pulang ke kampung halamannya di Alor Setar, Kedah.
“Sudah tiga tahun saya tidak beraya dengan orang tua kerana kesibukan kerja. Pada tahun 2020, terpaksa uruskan pesakit Covid-19 selain kerajaan ketika itu tidak benarkan umat Islam merentas negeri untuk menyambut Aidilfitri.
“Pada 2021 dan tahun lalu pula diarah bekerja kerana ramai jururawat yang bercuti, jadi saya terpaksa mengalah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, seorang operator kilang, Nor Elena Affendi, 25, berkata, dia teruja untuk pulang ke kampung halamannya di Kemaman, Terengganu dan mahu mengambil kesempatan mengunjungi sanak saudaranya di sana walaupun cutinya terhad.
“Saya bercadang melawat sepupu di sekitar Terengganu pada tahun ini walaupun hanya bercuti sehingga hari Isnin.
“Sampai di sana nanti, saya juga hendak beli kuih raya untuk diberikan kepada orang tua di Kemaman,” ujarnya. – UTUSAN










