PETALING JAYA: Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) memaklumkan, berdasarkan rekod pihaknya, tanah rizab Melayu di ibu negara adalah seluas 1,003.62 hektar.
Menurutnya, kesahihan data maklumat tersebut telah disemak dan diselaraskan dengan pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
“Keluasan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur ini merangkumi lima kawasan iaitu Rizab Melayu Sungai Penchala (306.954 hektar); Rizab Melayu Segambut (290.807 hektar); Rizab Melayu Selayang (89.881 hektar); Rizab Melayu Gombak (311.588 hektar); dan Rizab Melayu Taman Desa (4.35 hektar).
“Justeru, tiada penyusutan keluasan Tanah Rizab Melayu di Kuala Lumpur seperti yang dilaporkan di media,” kata jabatan itu sebagai menjawab laporan Utusan Malaysia bertajuk ‘Tanah rizab Melayu tiga negeri susut’.
Dalam laporan tersebut, Kuala Lumpur dilaporkan menyusut dengan ketara kepada 99.48 hektar sahaja daripada 1,003.56 hektar.
Dua lagi negeri yang menunjukkan penurunan bagi tempoh yang sama adalah di Kedah iaitu daripada 721,888.93 hektar kepada 716,537.28 hektar manakala Perak yang merekodkan penurunan daripada 95,342.67 hektar kepada 95,340.87 hektar.
Bagaimanapun, keluasan keseluruhan tanah rizab Melayu iaitu 4,996,406.42 hektar pada 2022 meningkat berbanding 4,963,190.80 pada 2021.
Dapatan itu adalah mengikut data Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan (JKPTG) sejak tahun 1947 sehingga akhir tahun lalu.
Sementara itu, kerajaan negeri Selangor turut menafikan dakwaan bahawa rizab tanah Melayu di negeri itu turun mendadak, sebaliknya meningkat sebanyak 21 peratus berbanding 75 tahun lalu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim berkata, berdasarkan statistik sehingga Februari 2023, tanah rizab Melayu di Selangor adalah seluas 401,568.41 ekar (162,508.97 hektar), meningkat sebanyak 29.13 peratus (90,598.64269 ekar) berbanding pada 310,969.76731 ekar (125,845.00 hektar) pada 1948.
Katanya, peningkatan dan penurunan data keluasan tanah rizab Melayu di Selangor dalam tempoh tersebut akibat daripada kesan pembatalan dan penggantian tanah rizab yang bertujuan untuk pembangunan infrastruktur awam.
“Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha secara berterusan untuk mengekalkan keluasan tanah rizab Melayu sedia ada. Keluasan sedia ada adalah masih dalam keadaan terkawal dan dipantau secara rapi di mana setiap pembatalan tanah perlu digantikan,” katanya. – UTUSAN










