JOHOR BAHRU: Syarikat peruncitan, Kumpulan Usaha Keluarga Jaya Sdn. Bhd., mengaku tidak bersalah menjual telur ayam gred B pada harga 70 sen sebiji, iaitu 27 sen melebihi harga maksimum yang ditetapkan, awal tahun lalu.
Pengakuan itu dibuat oleh seorang pengarah syarikat berkenaan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Berdasarkan kertas pertuduhan, premis perniagaan itu telah menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal, iaitu telur ayam gred B dengan harga 70 sen sebiji.
Tindakan itu menyaksikan peruncit menaikkan harga sebanyak 27 sen sebiji, melebihi harga maksimum runcit yang ditentukan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) 2022, iaitu 43 sen sebiji.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11.30 pagi di premis Kumpulan Usaha Keluarga Jaya yang beralamat di No. 44, Jalan Perjiranan 2, Bandar Dato’ Onn, di sini pada 2 Januari lalu.
Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 18 (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan pertama dan didenda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Iklas Raja Ariff, manakala syarikat tersebut diwakili peguam bela, Farah Wahidah Mohd. Sharip.
Mahkamah menetapkan 18 Mei depan sebagai sebutan semula bagi tujuan serahan dokumen. – UTUSAN