JEMPOL: Sepasang suami isteri warga emas ditemukan mati dalam sebuah kebun kelapa sawit Mahsan, Bandar Seri Jempol, di sini, petang semalam.
Sumber berkata, kedua-duanya disedari tidak pulang ke rumah sejak keluar dari awal pagi kelmarin untuk bersarapan bersama sebelum ke kebun tersebut.
Bimbang dengan keadaan tersebut, anak kepada suami isteri itu telah segera memaklumkan kepada saudara mara bagi mencari pasangan warga emas terbabit.
“Akhirnya, pasangan warga emas itu ditemukan mati di kebun mereka kira-kira pukul 4 petang semalam. Si suami ditemukan meninggal dunia di dalam kereta manakala isterinya pula tidak jauh dari kereta berkenaan,” kata sumber berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook mengesahkan kejadian berkenaan dan turut memaklumkan proses bedah siasat telah dijalankan di Unit Perubatan Forensik, Hospital Jempol, pagi tadi.
“Mangsa yang meninggal dunia ialah Chang Tong, berusia 83 tahun dan isterinya, Wong Kwan Thai @Wong Kam Thai, 82. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian kedua-duanya ialah serangan jantung.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyatan hari ini.-UTUSAN.