PETALING JAYA: Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa lagi saksi baharu termasuk pemimpin sebuah parti politik bagi mendapatkan maklumat untuk menjejaki sejumlah besar wang tunai yang dikaitkan dengan seorang menteri.
Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, siasatan SPRM difokuskan dari pelbagai sudut untuk mengesan dakwaan pemberian wang tunai menerusi orang tengah sebagai jaminan untuk syarikat-syarikat tersebut terus mendapat kontrak.
“Keterangan tersebut mungkin akan membabitkan beberapa saksi terdiri dalam kalangan pegawai di kementerian, syarikat kontraktor serta agensi di bawah kementerian itu bagi memperkukuhkan siasatan.
“Mungkin juga, akan ada pemimpin sebuah parti politik yang menjaga kewangan parti yang dikaitkan dengan menteri itu juga akan dipanggil namun ia bergantung kepada siasatan selepas ini.
“Setakat ini, difahamkan, keterangan menteri itu juga telah diambil SPRM sekali lagi selepas beliau hadir ke Pejabat SPRM pada Ahad lalu,” kata sumber itu.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, SPRM terus menjejaki wang tunai bernilai jutaan ringgit yang didakwa diserahkan oleh orang tengah kepada menteri berkenaan.
Ini susulan penggeledahan di pejabat dan kediaman menteri berkenaan sebelum ini tidak menemukan wang tersebut atau bukti-bukti wang tersebut diterima menteri berkenaan.
Pada 16 April lalu, Utusan Malaysia semalam melaporkan, Sivakumar disiasat SPRM berhubung dakwaan menerima wang bernilai jutaan ringgit menerusi orang tengah sebagai jaminan meneruskan kontrak-kontrak kerajaan terhadap individu tertentu.
Ahli Parlimen DAP hadir ke SPRM bagi menjelaskan dakwaan beliau telah menerima wang secara tunai oleh seorang ahli perniagaan yang juga ditahan SPRM bersama dua pegawai kanannya.
Sesi merakam keterangan itu juga dipercayai berlangsung selama lebih sembilan jam dan serentak itu SPRM turut dikatakan menggeledah pejabat dan rumah menteri terbabit bagi menjejaki wang yang didakwa diperoleh beliau. – UTUSAN










