PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan isu pengambilan pekerja asing membawa kepada penahanan Setiausaha Sulit kepada Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar awal pagi semalam.
Penahanan Setiausaha Sulit menteri itu dilakukan SPRM kira-kira pukul 2.30 pagi selepas seorang pegawai tugas-tugas khas kepada Sivakumar direman kelmarin.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, suspek akan direman selama empat hari bagi siasatan lanjut berhubung siasatan dilakukan.
Kata sumber itu, kemungkinan akan ada beberapa lagi tangkapan akan dilakukan berhubung kes yang sama.
“Reman suspek akan dilakukan empat bermula hari ini sehingga Isnin ini bagi tujuan siasatan,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi sebuah portal mengesahkan perkara itu.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, seorang pegawai tugas-tugas khas menteri ditahan selepas dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ bagi mengutip rasuah daripada ejen-ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pengambilan pekerja asing.
Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan SPRM berhubung dakwaan tersebut. – UTUSAN










