Sambut raya sederhana

Sambut raya sederhana

KEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah Hajratun Bibi Mohd. Ali, 73, ketika menyambut kepulangan anak, menantu serta cucunya di Kampung Lama Arau, Perlis, semalam. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Umat Islam di negara ini diingatkan tidak ber­lebihan meraikan sambutan Ha­ri Raya Aidilfitri sehingga berlaku pembaziran dan terpaksa ikat perut di kemudian ha­ri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr. Muhammad Ikhlas Rosele berkata, sebaliknya umat Islam digalakkan meraikan hari le­baran itu bersama orang yang memerlukan dan bukannya me­nyambutnya melebihi keperluan.

Katanya, sebab itu zakat fitrah disyariatkan pada hari raya yang mana waktu afdal adalah setelah terbitnya matahari sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Ujarnya, ia menunjukkan fal­safah pemberian dan amalan sikap kesederhanaan, bukannya berlebihan menyambut pe­rayaan ini.

“Isu pembaziran berlaku apabila keterlaluan menyediakan jua­dah dan berhias sehingga seolah-olah menyambut hari raya terakhir dalam hidup kita, sedangkan kita perlu lagi menyusun perbelanjaan lagi sepanjang tahun.

“Oleh itu, jangan habiskan per­belanjaan sepanjang hari ra­ya sehingga (boleh lihat) ada setengah orang itu ikat perut.

“Amalan membazir berbe­lan­ja tanpa keperluan dilarang dalam Islam, sebagaimana firman Allah yang bermaksud ja­ngan kamu membazir sesungguhnya orang yang membazir itu seperti bersaudara syaitan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan lebih 18 juta perantau mula bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing mulai kelmarin bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.

Migrasi terbesar di negara ini setiap kali sambutan Aidilfitri bermula tengah malam kelmarin iaitu pada hari pertama pemberian tol percuma selama empat hari dilaksanakan seperti diumumkan kerajaan.

Selain rakyat beragama Islam yang merupakan 65 peratus penduduk Malaysia, pergerakan itu juga melibatkan kumpulan masyarakat lain yang turut mengambil kesempatan untuk bercuti dan pulang ke kampung bertemu ahli keluarga masing-masing.

Muhammad Ikhlas Rosele yang juga Ketua Jabatan Fiqh dan Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pula berkata, selain bersifat sederhana, antara perkara yang penting pada hari raya adalah mengeratkan silaturahim dan persaudaraan.

Ujarnya, Islam menggalakkan umatnya untuk menjalinkan hubungan silaturahim dan persaudaraan yang boleh dipraktikkan melalui amalan ziarah menziarahi semasa musim perayaan.

“Satu mengeratkan hubungan silaturahim antara kita dengan kaum kerabat, kemudian hubungan persaudaraan dengan jiran dan sahabat handai.

“Kedua-dua hubungan ini boleh diperkukuhkan dengan amalan ziarah-menziarahi dan ucapan salam apabila perayaan.

“Mungkin ada yang mempunyai kekangan untuk ziarah-menziarahi, namun dengan dunia digital sekarang, kita boleh menghantar ucapan melalui kiriman WhatsApp atau dalam bentuk rakaman video, jadi banyak cara boleh kita sampaikan,” katanya.

Namun, katanya, terdapat adab yang perlu diberi perhatian dalam mempraktikkan amalan ziarah menziarahi bagi mengukuhkan hubungan silaturahim dan persaudaraan.

“Antaranya kita kena bagi salam dan menghormati sekiranya mereka tidak bersedia menerima tetamu.

“Seterusnya, tidak menyakitkan hati dan banyak lagi aturan aturan Islam yang lain. Sebab apabila ziarah ini kadang kala ada isu aurat, jadi isu-isu sebegitu boleh mengecilkan hati tuan rumah,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika meraikan Aidilfitri bagi mengelak Covid-19 kembali mencatat peningkatan ketika negara masih lagi dalam fasa endemik.

Penasihat Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, masyarakat perlu sedar wabak Covid-19 masih lagi ada dan jangkitan itu akan terus berlaku serta boleh meningkat terutamanya ketika sambutan perayaan.

Katanya, ini kerana banyak interaksi dan pergaulan sudah tentu berlaku pada setiap kali musim perayaan.

“Oleh itu, kena amalkan semula prosedur operasi standard (SOP) sebelum ini terutamanya berkaitan pemakaian pelitup muka. Walaupun tidak diwajibkan, tetapi kena ada inisiaif sendiri terutamanya apabila ke masjid atau berjumpa dengan orang.

“Selain itu, kalau boleh elakkan kawasan sesak dan sempit serta jika rasa tidak sihat, maka lakukan ujian saringan kendiri dan sekiranya postif, mereka perlu kuarantin sendiri.

“Jadi, tidak perlu lagi tunggu arahan sebab masing-masing sudah tahu apa yang perlu dibuat. Sekarang ini memang patut sangat, jika tidak kena jangkit,” katanya ketika dihubungi semalam.

Setakat 9 hingga 15 April lalu, jumlah kemasukan pesakit Covid ke hospital Kementerian Kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk pada minggu epidemologi meningkat 26.2 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, penemuan subvarian baharu Covid-19 digelar Arcturus dipercayai antara sebab lonjakan kes itu boleh berlaku.

Beliau bagaimanapun mengingatkan, wabak tersebut tetap boleh meningkatkan kadar kemasukan dan kematian biarpun tanpa apa-apa varian.

Justeru, beliau menyarankan orang ramai untuk tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan amalkan TRIIS iaitu ujian saringan, melaporkan hasil ujian saringan, menjalani kuarantin, memaklumkan pada kontak rapat jika positif dan mendapatkan rawatan segera sekiranya bergejala.

“Menjelang sambutan perayaan kali ini… dengan jamuan rumah terbuka, maka seeloknya berhati-hati dan golongan rentan dinasihatkan untuk memakai pelitup muka.

“Jika boleh, elakkan rumah atau kawasan yang mempunyai wabak dan banyak kes. Misalnya kalau ada kampung itu banyak kes, maka tidak perlu masuk ke sana.

“Kalau kita tidak tahu, maka pakai pelitup muka terutamanya mereka yang berisiko tinggi, itu yang merisaukan. Jika budak atau remaja kalau dijangkiti, mungkin gejala mereka masih ringan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN