Aidilfitri Malaysia Madani di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan menjadi petanda bermulanya kempen secara tidak rasmi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri itu.
Ia dilihat sebagai medan menguji populariti Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri bagi meraih sokongan terhadap parti kerajaan perpaduan sebelum menghadapi pilihan raya dalam tempoh dua bulan akan datang.
Ini setelah Pakatan Harapan (PH) meraih jumlah undi terendah di dua buah negeri iaitu Terengganu dengan 40,645 (5.50%) dan Kelantan dengan 87,293 (8.80%) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
TERTINGGI
PH meraih undi tertinggi di Selangor iaitu 1,547,385 (52.85%), Pulau Pinang 566,245 (59.99%), Negeri Sembilan 295,449 (44.80%) dan Kedah 281,523 (23.28%).
Ini berbeza dengan Perikatan Nasional (PN) yang meraih undi tertinggi di tiga buah negeri iaitu Kedah dengan 664,720 (54.96%), Kelantan 631,201 (63.66%) dan Terengganu 460,789 (62.34%) manakala di Pulau Pinang, PN meraih 226,173 (23.96%) diikuti Selangor dengan 806,717 (27.55%) dan Negeri Sembilan 144,835 (21.96%).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali menjelaskan, jumlah undian yang diraih pada PRU15 itu menunjukkan Anwar dan PH sedar mereka perlu bekerja keras dalam meningkatkan sokongan di peringkat PRN.
SOKONGAN
Justeru, katanya, Anwar dilihat menggunakan popularitinya untuk meraih sokongan ketika ini, malah dalam tempoh hampir enam bulan sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, popularitinya semakin meningkat.
“Berdasarkan tinjauan awal, populariti Anwar semakin meningkat kerana cara beliau yang sering mendekati dan bertemu rakyat, beliau sering mendapat sambutan hangat, berbeza dengan Perdana Menteri sebelum ini.
“Walaupun beliau masih berdepan kritikan berhubung isu tangani kos sara hidup, tetapi popularitinya terus meningkat kerana pendekatannya dan rakyat juga mahu mengenali beliau. Rumah terbuka ini peluang beliau untuk tingkatkan populariti kerajaan perpaduan,” katanya ketika dihubungi.
Perdana Menteri bersama jemaah menteri akan memulakan siri rumah terbuka di Alor Setar, Kedah pada hari ini, diikuti UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang (6 Mei) dan Seremban, Negeri Sembilan (7 Mei).
Rumah terbuka Madani diteruskan selama tiga hari di tiga buah negeri iaitu di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan (12 Mei), Kuala Terengganu, Terengganu (13 Mei) dan Gombak, Selangor pada 14 Mei.
Bagaimanapun, menurut Mazlan, populariti Anwar sahaja tidak mencukupi untuk menarik sokongan di peringkat negeri kerana segala-galanya masih bergantung kepada faktor lain terutama peratusan keluar mengundi.
Katanya, jumlah undian yang akan diraih oleh PH, PN dan BN dijangka jauh lebih rendah di keenam-enam buah negeri ini berikutan pola dan trend peratusan keluar mengundi di PRN sering mencatatkan jumlah yang rendah berbanding PRU.
MENGUNDI
“PH menang besar pada PRU14 tetapi mereka kemudian kalah dalam beberapa pilihan raya kecil, sama juga dengan PRN Melaka dan Johor yang berpihak kepada BN kerana peratusan keluar mengundi rendah.
“PN sendiri terkejut dan teruja apabila mendapat undi yang begitu banyak dalam PRU15, kerana ramai anak-anak negeri pulang mengundi. Namun, dalam enam PRN kali ini, peratusan jumlah yang akan mengundi mereka akan jatuh kerana tidak ramai yang akan pulang mengundi untuk bentuk kerajaan negeri,” katanya.
Justeru, beliau menjangkakan gelombang hijau tidak sekuat ketika PRU15 sebaliknya parti kerajaan perpaduan mampu untuk menguasai sekurang-kurangnya empat buah negeri iaitu di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah.
“Dengan kerjasama antara PH dan BN, mereka dijangka menguasai Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang manakala kedudukan di Kedah masih lagi 50-50 dengan PN.
“Di Kelantan, PN tidak berdepan masalah untuk terus kuasai negeri itu, namun BN dijangka meraih beberapa kerusi di Terengganu. Memang ada kemungkinan pengundi BN akan lari ke PN dalam PRN kali ini, tetapi bilangan pengundi BN yang menerima kerjasama PH semakin meningkat,” katanya. – UTUSAN








