RAA Eksklusif tawar baju Melayu, kurta pada harga Rahmah - Utusan Malaysia

RAA Eksklusif tawar baju Melayu, kurta pada harga Rahmah

MOHD. REDZA FAHMI Faiza (tengah) sedang melayan pelanggan di gerai jualan baju Melayu, kurta dan jubah miliknya di Dataran Sekilau di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: RAA Eksklusif yang pertama kali berniaga di gerai Hari Raya Aidilfitri di Dataran Sekilau di sini menawarkan baju Melayu, sampin, kurta dan jubah pada harga Rahmah antara RM30 hingga RM179.

Pemilik RAA Eksklusif, Mohd. Redza Fahmi Faiza, 29, berkata, sejak mula berniaga di situ bermula awal Ramadan lalu, sambutan pelanggan di gerai itu cukup menggalakkan.

“Harga ditawarkan boleh dikatakan harga Rahmah. Kurta hanya RM30 sepasang manakala baju Melayu beserta sampin RM179 sepasang.

“Baju Melayu kita jual jenis Cekak Musang dan Teluk Belanga. Jubah pula jenis Abaya,” katanya ketika ditemui di Dataran Sekilau di sini.

Mohd. Redza Fahmi berkata, gerai jualannya dibuka setiap hari bermula pukul 7.30 malam hingga 2 pagi.

“Kita akan buka gerai ini sehingga malam Hari Raya Aidilfitri. Biasanya sampai pukul 2 pagi, malam raya kita akan buka sampai 3 pagi untuk habiskan stok jualan,” katanya.

Menurutnya, di RAA Eksklusif, dia sentiasa memastikan baju raya yang dijual mempunyai kualiti dan menepati standard ditetapkan.

“Takkanlah kita hendak menjual pakaian yang tidak berkualiti, tentunya ia selesa dipakai pada Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.

Beliau berkata, dia merancang membuka gerai jualan Aidilfitri tersebut sejak tahun lalu dan bersyukur ke hadrat Allah SWT, ia berjaya direalisasikan kali ini.

“Memang sudah lama rancang untuk menjual baju Melayu, kurta dan sampin sempena Aidilfitri.

“Selama ini hanya lihat orang berniaga, kali ini saya dapat merasai sendiri pengalamannya. Alhamdulillah kerana sambutan pelanggan juga cukup baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya